Mayat Wanita Di Pulau Gaya

Keadaan mayat wanita yang ditemui di tepi pantai Kampung Torong Logong, Pulau Gaya. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

KOTA KINABALU: Polis sedang menyiasat penemuan mayat wanita yang mulai reput di tepi pantai Kampung Torong Logong, Pulau Gaya, di sini, sama ada kejadian berunsurkan jenayah atau sebaliknya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata mayat wanita berusia lingkungan 20 tahun tanpa identiti ditemui oleh orang awam, pada awal bulan lalu.

Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang ditemui di tepi pantai Kampung Torong Logong, Pulau Gaya. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

“Mayat itu ditemui dalam keadaan fizikalnya mulai kembung dan mereput manakala bahagian usus serta muka mayat hancur.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui dan mayat sudah dibedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I),” katanya ketika ditemui selepas majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi Ogos 2019 di Dataran Pahlawan, di sini, hari ini.

Habibi berkata siasatan juga mendapati tiada kesan kecederaan ditemui pada mayat berkenaan.

“Polis masih menyiasat sama ada kejadian berunsurkan jenayah atau sebaliknya.

“Polis juga sedang mengenal pasti waris dan ahli keluarga mangsa.

Sehubungan itu, Habibi berkata orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil membantu siasatan dalam kes berkenaan.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat wanita itu masih berada di Jabatan Forensik HQE I.

“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Ketua Balai Polis Pulau Gaya, Asisten Superintendan Mohd Zulfikar Abd Salam di talian 088-220221 bagi membantu siasatan polis,” katanya.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *