Disangka Babi Hutan, Rupanya Sepupu

Gambar Hiasan

KOTA MARUDU: Seorang lelaki parah selepas terkena tembakan oleh sepupu sendiri ketika memburu babi hutan di kawasan hutan Kampung Teringai Darat, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa berusia 30-an bersama sepupunya berusia 27 tahun keluar memburu.

Ketika sedang memburu, mangsa dan sepupunya kemudian berpecah.

Suspek kemudian ternampak seekor babi hutan lalu melepaskan tembakan menggunakan senapang buatan sendiri jenis bakakuk pada jarak 50 meter.

Bagaimanapun suspek terkejut apabila mendapati sepupunya sendiri terbaring dengan beberapa kesan tembakan di badan lalu membawa mangsa pulang ke rumahnya.

Mangsa yang parah dikedua-dua paha dan tangan kirinya dihantar ke Hospital Kota Marudu sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan keadaan mangsa kini stabil.

“Suspek ditahan dan direman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960, jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *