Angin Kuat, Tekanan Air Rendah Penyumbang Rumah Banyak Terbakar

Pandangan daripada udaran keadaa rumah-rumah yang hangus terbakar di Kampung Tanjung Batu, Otentik, Tawau.

TAWAU, 27 OGOS: Pergerakan angin seakan-akan puting beliung, menjadi antara penyumbang berlakunya kebakaran dengan  pantas sehingga memusnahkan kira-kira 60 rumah di Kampung Otentik, Tanjung Batu Keramat di sini, malam tadi.

Seorang mangsa, Normadiah Hussin, 32, berkata faktor angin kuat, selain tekanan air rendah menyebabkan kerja-kerja pemadaman api sukar dilakukan.

Rumah-rumah yang hangus terbakar di Kampung Tanjung Batu, Otentik, Tawau.

“Angin kuat semalam, api cepat merebak, dengan keadaan rumah rapat, orang kampung turut membantu sehingga naik ke bumbung rumah untuk memadam api.

“Bomba juga datang awal untuk memadam api tapi tekanan air rendah,” katanya ketika ditemui Bernama.

Menceritakan detik kejadian, Normadiah yang juga Guru Besar Sekolah Rendah Islamiah Al-Furqan, Tawau itu berkata ketika kejadian dia serta sembilan ahli keluarganya yang lain sedang berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen, sebelum dikejutkan suara jeritan kebakaran.

“Rumah kami selang lapan rumah dari rumah yang mula terbakar, saya tidak dapat selamatkan barang lain hanya dokumen pengenalan diri.

“Keadaan di luar rumah panik, dengan bunyi orang menjerit, bunyi letupan, kaca pecah dan ketika itu asap mula memenuhi ruangan rumah, kami sekeluarga berlari keluar rumah,” katanya.

Dalam pada itu, seorang warga emas, Tiha Masak, 60, berkata dalam kejadian itu kira-kira 7.40 malam itu rumah serta kedai runcitnya musnah terbakar.

“Tiada barang yang dapat saya dan suami selamatkan, kami bawa diri sehelai sepinggang keluar dari rumah bersama dokumen pengenalan diri,” katanya sebak mengenangkan rumah warisan berpuluh tahun itu ranap sekelip mata.

Normadiah dan Tiha, di samping itu senada berhasrat untuk membina semula rumah di tapak sama kebakaran.

Normadiah dan Tiha masing-masing akan menumpang tinggal sementara waktu di rumah keluarga terdekat di kampung sama.

Rata-rata mangsa kebakaran yang ditemui Bernama memerlukan bantuan segera  berupa pakaian dan makanan.

Difahamkan lebih lima kebakaran besar pernah berlaku di kawasan Tanjung Batu sejak 2010.

Bomba melaporkan dianggarkan 60 rumah musnah kebakaran di Kampung Otentik, Tanjung Batu Keramat dalam kejadian 7.40 malam.

Bomba yang menerima panggilan kebakaran pada 7.51 malam tadi bergegas ke lokasi dengan 53 anggota serta empat jentera dan kebakaran dipadam sepenuhnya kira-kira 4.58 pagi tadi.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *