PPBM, Sila Ingat Niat Asal Masuk Ke Sabah – Penganalisis

Dr M: Sabah Bersatu tiada niat untuk merampas kuasa.

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan supaya kembali kepada niat asal mereka melebarkan sayap ke Sabah, iaitu mengukuhkan kedudukan kerajaan negeri, dan bukannya menjadi parti dominan.

DR ROSALAM SARBATLY

Penganalisis politik Profesor Dr Rosalam Sarbatly berkata, mustahil untuk mempunyai dua parti dominan di Sabah memandangkan negeri itu kini diterajui Warisan, pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal.

“Dalam konteks di Sabah, kita lihat (kembali) asas penubuhan dan parti yang sedia ada di sini. Kita tahu bahawa terdapat pelbagai parti di Sabah – Warisan, Pakatan Harapan (PH) dan terbaharu adalah Bersatu.

“Sekiranya formula yang baik digunakan, InsyaAllah dia (Bersatu) boleh membantu bersama-sama Warisan dan PH untuk berkembang di Sabah.

“Tetapi, untuk menjadi dominan, itu mungkin agak sukar kerana masing-masing mahu menjadi dominan. Dan kita tahu Warisan memang sudah bertapak di sini dan mempunyai banyak kerusi di Sabah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

Di sebalik “menanam” hasrat tersebut, Rosalam menambah, Bersatu sepatutnya memberi kerjasama sepenuhnya kepada Warisan.

Ini kerana, ujarnya, jika perkara itu berlaku ia boleh menggugat kestabilan politik kedua-dua parti.

“Jadi, satu perbincangan yang lebih mendalam perlu dilakukan, sepertimana yang dikatakan oleh (Pengerusi Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, tujuan Bersatu melebarkan sayap ke Sabah adalah untuk membantu parti kerajaan iaitu parti Warisan.

“Jadi, macam mana sebenarnya falsafah di sebalik untuk membantu kerajaan itu? Kena faham asas penubuhan dia (Bersatu di Sabah) dan itu sendiri telah dinyatakan oleh Dr Mahathir apabila meminta Bersatu masuk ke Sabah,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor memaklumkan Bersatu menanam hasrat untuk menjadikan parti itu sebagai parti dominan di Sabah.

Beliau berkata, impian berkenaan adalah berdasarkan platform Bersatu yang mula diterima orang ramai di negeri itu.

Kemasukan Bersatu ke Sabah pada mulanya ditentang Warisan, dengan Shafie sendiri menggesa parti itu berpegang kepada janji yang dibuat sebelum pilihan raya umum ke-14 untuk tidak mengembangkan sayap ke negeri itu.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *