Kerajaan Sabah Tidak Ketatkan Peraturan Barter Trade

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak bercadang untuk memperketatkan peraturan atau perundangan berkaitan urusan perdagangan tukar barang (Barter Trade) terhadap pengusaha sebaliknya ingin memastikan imej negara terjaga.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, segala perkara berkaitan dagangan berkenaan sudah diperhalusi dan perdagangan tukar barang sudah dimulakan baru-baru ini.

Shafie (duduk, tengah), Pembantu Menteri Kewangan Sarifuddin Hata (duduk, dua kanan), bersama tetamu kehormat lain ketika sidang media.

“Ia sudah dimulakan dalam jumlah kecil dan kini jumlah perdagangan itu semakin meningkat… kita sebenarnya mahu memantau siapa sebenarnya yang betul-betul mahu terlibat.

“Kita tidak ketatkan tetapi mahu pastikan sekiranya berdagang pada masa yang sama imej negara perlu dijaga.

“Nanti ada orang berniaga tidak membantu negara kita tetapi merosakkan imej negara. Kita mahu pastikan semua peraturan diperhalusi… bukan sahaja kita mahu supaya mereka mendapat keuntungan tetapi menjaga imej negara kita,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Amanat oleh Ketua Menteri kepada Barter Traders di Sabah, di sini semalam.

Beliau berkata, kerajaan Sabah inginkan pemain yang benar-benar mempunyai rekod baik dalam bidang terbabit dan bukan mereka yang tidak dapat melaksanakan tugas disebabkan kurang keupayaan dari segi kewangan dan jalinan rangkaian perniagaan.

Katanya, berdagang perlu mempunyai rangkaian baik dalam kalangan peniaga, perlu mempunyai kemampanan untuk membekalkan barangan agar rakan niaga di negara Indonesia dan Filipina mampu memperolehi bekalan sepanjang masa serta bila diperlukan.

“Barangan perlu cukup dan konsisten serta harga berpatutan, kita tidak mahu hari ini kita lancarkan, dua bulan kemudian tutup pintu disebabkan bekalan tidak cukup.

“Kita inginkan keuntungan yang berpanjangan bukan saja kepada kita tetapi juga kepada negara jiran yang terlibat secara mampan,” katanya.

Shafie yang juga Menteri Kewangan berkata, sehingga kini sebanyak 43 lesen perdagangan tukar barang sudah dikeluarkan kepada tiga lokasi utama seperti di Kudat, Sandakan dan Tawau.

Katanya, terdapat juga di kawasan berpotensi seperti Lahad Datu tetapi tiga kawasan utama itu sudah mempunyai kemudahan prasarana sedia ada untuk meningkatkan perdagangan berkenaan.

“Tawau akan berdagang dengan Kalimantan, Sandakan berdagang dengan Selatan Mindanao dan Kudat dengan Palawan.

“Lokasi ini dipilih setelah permuafakatan persefahaman di antara Indonesia, Filipina dan Malaysia terjalin yang mana, usaha pemantauan dapat dilakukan bersama bagi menjamin keselamatan kapal-kapal dagangan ini, seterusnya menyuburkan perdagangan di antara tiga negara,” katanya.

Shafie berkata, Kerajaan Sabah menerusi Kementerian Kewangan juga sudah mewujudkan Jawatankuasa Khas dan Teknikal yang membabitkan semua agensi kerajaan berkaitan bagi menjayakan usaha itu.

Menurutnya, perbincangan di antara ketiga-tiga negara itu sudah berjaya berdasarkan beberapa syarat atau peraturan bagi membolehkan perdagangan diadakan itu mampu dijamin keselamatan barangan untuk tiba di destinasinya.

“Permuafakatan itu juga memastikan kita kenal pasti jenis kemudahan digunakan, jumlah barangan dibawa, jenis barangan dan sebagainya.

“Kita tidak mahu, contohnya, satu tan barangan dibawa tetapi bila tiba dua tan pula atau 100 jenis barangan dibawa tetapi yang tiba 300 barangan,” katanya.

Shafie juga percaya jumlah dagangan berkenaan mampu ditingkatkan berbanding jumlah RM2 juta nilai jualan yang dilakukan terdahulu.

Beliau yakin dengan peningkatan volum nilai dagangan, peningkatan jumlah penduduk serta keperluan dan pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan akan meningkatkan jumlah pendapatan itu nanti.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *