Terima Lapan Jahitan Selepas Dikelar Pisau Di Hadapan Rumahnya

Kecederaan dialami mangsa. Foto Ihsan Polis.

BEAUFORT: Lelaki menerima lapan jahitan selepas cedera di tangan akibat dikelar dengan pisau badik di hadapan rumahnya di Jalan Kubu 1, Beaufort.

Kejadian berlaku pada 10.30 malam Rabu lalu apabila mangsa berusia 29 tahun didatangi dua lelaki berusia 30 dan 33 tahun yang menaiki kenderaan berasingan.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, mangsa bertanya tujuan kunjungan mengejut itu sebelum seorang daripada mereka memaklumkan mangsa telah menyebabkan mereka kemalangan.

Katanya, mangsa didakwa punca mereka berlanggar sesama sendiri sebelum, suspek pertama berusia 33 tahun mengeluarkan pisau badik daripada begnya.

“Mangsa yang terkejut kemudian melarikan diri dengan masuk ke dalam keretanya, namun suspek mengarahkan mangsa menurunkan cermin kereta sebelum menggelar tangannya.

“Suspek sama kemudian memanjat kereta itu dan bertindak memecahkan cermin kerta mangsa. Suspek kedua pula menumbuk bumbung kereta dengan tangannya, sebelum kedua-duanya beredar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmir berkata, siasatan pihaknya mendapati kedua-dua suspek mabuk dan menyebabkan serangan itu.

Katanya, kedua-duanya ditahan di rumah masing-masing dan barangan kes (pisau badik) dirampas.

Menurutnya, dalam soal siasat suspek pertama mengaku mencederakan mangsa dengan pisau itu hingga mangsa dirujuk ke Hospital Beaufort dan menerima lapan jahitan.

“Anggaran kerugian ditanggung mangsa dianggarkan RM1,500 membabitkan kerosakan kenderaannya dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *