Ibu & Anak Ditahan Curi Produk Kesihatan & Kecantikan

Sedutan daripada CCTV

LAHAD DATU: Seorang ibu dan anak perempuannya ditahan polis selepas didapati mencuri produk kecantikan di sebuah kedai rangkaian runcit kesihatan dan kecantikan di Fajar, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, kedua-dua wanita berusia 43 dan 21 tahun menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu selepas gambar mereka disiarkan menerusi Facebook IPD Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata pihaknya menerima laporan daripada penyelia kedai berusia 28 tahun berhubung kejadian yang berlaku Khamis lalu.

Katanya, penyelia wanita itu mendakwa menyedari dua wanita yang masuk ke premis tempat kerjanya dalam mencurigakan dan disyaki mencuri barangan jualan mereka.

“Sebaik memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV), penyelia premis berkenaan melihat perbuatan jenayah kedua-dua wanita terbabit.

“Mereka dilihat memasukkan barangan produk kecantikan yang dianggarkan bernilai RM140 ke dalam beg sebelum keluar daripada premis berkenaan tanpa membuat pembayaran,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Nasri berkata, kedua-dua suspek yang ditahan mengaku secara lisan melakukan kesalahan berkenaan.

Katanya, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *