Hotel 4 Bintang Dibina Di Tengah Pusat Bandar Raya Kota Kinabalu

Shafie (tengah) bersama tetamu kehormat yang lain menyempurnakan upacara pecah tanah Hotel Grand Liberty.

KOTA KINABALU: Bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di Sabah, hotel terbaharu bertaraf empat bintang iaitu Hotel Grand Liberty (GL) akan dibina dengan jumlah pelaburan bernilai RM120 juta.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi tetamu kehormat merasmikan pecah tanah hotel berkenaan di Coastal Highway, di sini.

Shafie berucap di dan menyempurnakan upacara pecah tanah Hotel Grand Liberty.

Sambil memuji usaha syarikat swasta Grand Liberty Sdn Bhd, Shafie berkata hotel di tengah pusat bandar itu menyediakan 301 bilik bertaraf empat bintang berkeluasan 200,000 kaki persegi.

“Saya yakin ini adalah satu usaha pihak swasta yang ingin melabur di Sabah untuk meraih peningkatan dalam sektor pelancongan yang ada.

“Ini jelas membuktikan sektor pelancongan di negeri ini adalah sihat dan menggalakkan. Jadi kita memerlukan ruang bilik yang mencukupi dan memastikan ia dapat diurus dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah hotel itu, di sini.

Gambaran artis Hotel Grand Liberty

Dalam ucapannya, Shafie juga menjelaskan bahawa kerajaan hari ini akan memberi penekanan kepada kepentingan sektor pelancongan sebagai salah satu penyumbang pertumbuhan ekonomi di Sabah.

Sehubungan itu, katanya, pelabur luar amat dialu-alukan datang membuat pelaburan dan pada masa sama, memberi keutamaan kepada kemudahan selesa bagi pelancong yang datang.

“Kita menyedari sektor pelancongan subur dan kita perlu sediakan prasarana bagi membantu memudahkan urusan pelabur-pelabur ini asalkan mereka memberikan keselesaan dan harga berpatutan.

“Sudah tentu kerjasama membangunkan eko pelancongan ini akan memberi ruang kepada rakyat Sabah melaksanakan perniagaan dan membuka lebih banyak lagi peluang pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Grand Liberty Datuk Tan Kar Leong berkata, idea membina hotel empat bintang itu adalah hasil cetusan semangat Kerajaan Sabah Baharu yang memberi ruang kepada mereka membantu meningkatkan ekonomi negeri ini.

Katanya, seramai 300 rakyat Sabah akan mendapat peluang kerja melalui pembinaan pelbagai kemudahan seperti restoran, gym, kolam mandi berbumbung dan bilik mesyuarat di dalam hotel berkenaan.

“Peluang pekerjaan semua sektor dari peringkat pengurusan hotel sehinggalah peringkat kumpulan sokongan akan diberikan 100 peratus kepada rakyat Sabah.

“Ini sedikit sebanyak akan mengurangkan migrasi rakyat Sabah ke Semenanjung untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau yakin kestabilan ekonomi dan politik di negeri ini akan terus menjadi pemangkin kepada lebih ramai lagi pelabur turut sama melabur dalam masa terdekat ini.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri dan pimpinan negeri kerana berjaya menarik kehadiran pelancong ke Sabah dengan begitu drastik dalam masa setahun sahaja.

Katanya, sehingga kini, Sabah sudah menjadi pilihan destinasi pelancongan yang bukan sahaja disebabkan memiliki keindahan alam semula jadi dan budaya, bahkan menjadi platform antarabangsa untuk destinasi industri yang lain.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Jimmy Wong dan 200 tetamu lain yang hadir menyaksikan majlis berkenaan.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *