Mayat Hampir Reput Ditemui Terapung Di Perairan Pulau Menggalum

Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

KOTA KINABALU: Mayat seorang lelaki tanpa pengenalan diri telah ditemui di perairan Pulau Menggalum oleh Polis Marin Kota Kinabalu pagi kelmarin.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah, ACP Hj. Mohamad Pajeri bin Ali berkata, ‘bertindak atas laporan yang dibuat oleh seorang Polis Bantuan di Pelantar Minyak ERB West (Petronas) berhampiran Pulau Menggalum, sepasukan anggota Pasukan Polis Marin Kota Kinabalu menggunakan botronda RH52 telah bergegas ke lokasi kejadian untuk mengesan mayat tersebut.

Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

“Mayat tersebut telah dijumpai pada jam lebih kurang 1100 pagi pada kedudukan Lat 06 12.813N, Long 115 47.307E di perairan Pulau Menggalum. Jarak penemuan mayat tersebut dari Bandaraya Kota Kinabalu pula adalah lebih kurang 30 batu nautika. Mayat tersebut telah dijumpai dalam keadaan hampir reput dan memakai baju T-shirt berwarna kuning”. Tambahnya.

“Identiti mayat belum diketahui dan telah dibawa ke jeti pangkalan lama Pasukan Polis Marin Kota Kinabalu dan telah diterima oleh Pegawai Penyiasat dari Balai Polis Pulau Gaya. Mayat kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut.” katanya lagi.

Tambahnya lagi, walaupun dalam keadaan kekangan kekurangan aset dan kawasan rondaan yang terhad, namun atas rasa tanggungjawab kepada masyarakat dan negara, Polis Marin telah berusaha sedaya upaya ke lokasi yang dilaporkan apatah lagi pasukan sahabat yang lain tidak berupaya ke lokasi disebabkan masalah ketiadaan aset. Selain itu peringatan kepada penduduk setempat dan yang berhampiran sekiranya ada kehilangan anggota keluarga agar tampil membuat laporan atau membantu mengenal pasti mayat berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *