Sanggup Guna Wang Pencen Buat Baju Melayu Corak Jalur Gemilang


Rahman Jali menggayakan baju Melayu yang direka menggunakan Jalur Gemilang. Foto BERNAMA


KOTA KINABALU: Kerana jiwa patriotik, seorang pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) sanggup menghabiskan RM200 wang pencennya membayar upah tukang jahit untuk menghasilkan baju Melayu bercorak Jalur Gemilang yang dikenakan pada sambutan Bulan Kebangsaan 2019.

Bekas Ketua Polis Balai Tuaran, Rahman Jali, 61, melakukan pengorbanan itu sejak bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada 2015, sebagai bukti sayang dan cintakan kepada tanah air, yang menjangkau usia kemerdekaan 62 tahun.

“Kesanggupan saya membelanjakan RM200 wang pencen semata-mata untuk mendapatkan baju Melayu bercorak Jalur Gemilang itu tidak ternilai dengan pengorbanan pejuang dan pemimpin lalu mencari kemerdekaan negara.

“Namun, saya sedikit sebanyak merasa bangga apabila dapat mengenakan pakaian luar biasa yang dihasil menggunakan corak Jalur Gemilang menjelang sambutan Bulan Kebangsaan 2019,” katanya kepada BERNAMA, di Tamparuli, hari ini.

Rahman yang berasal dari Kampung Mengkabong, Tuaran pernah menerima anugerah pertandingan menghias kenderaan sempena kemerdekaan peringkat negeri pada 2015.

Beliau mengakui tidak kekok mengenakan pakaian baju Melayu bercorak Jalur Gemilang setiap kali menghadiri majlis keramaian, sebaliknya merasa bangga apabila ramai yang kagum, memuji dan mengajak merakam gambar kenangan.

“Langkah saya berbuat demikian bukan untuk menunjuk, sebaliknya ingin menanamkan semangat patriotik kepada masyarakat supaya sentiasa sayang dan cintakan tanah air,” katanya.

Rahman mengakui semangat patriotik sentiasa membara dalam jiwanya, lebih lagi beliau seorang pesara PDRM yang banyak terbabit dalam perjuangan memelihara kemerdekaan.

“Sekurang-kurangnya pendekatan saya lakukan ini sedikit sebanyak mampu membantu menceriakan sambutan kemerdekaan tahun ini, selain menjadi contoh generasi muda untuk melakukan sesuatu yang berguna kepada negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap usahanya itu tidak akan terhenti, malah mahu lebih banyak pihak melakukan sesuatu yang boleh mencetuskan semangat kemerdekaan.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *