Pecahkan Injap Paip, Kontraktor Pan Borneo Didenda Rm10,000

KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 ke atas kontraktor Pan Borneo Sabah kerana menyebabkan kerosakan injap angin paip utama di Kampung Lot M, Kinabatangan menyebabkan bekalan air di beberapa kawasan di Sandakan terputus selama beberapa jam.

Pengarahnya, Ir Amarjit Singh berkata, kompaun berkenaan dibuat mengikut Seksyen 49a dan Seksyen 59 Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 kerana menyebabkan kerosakan dan pembaziran.

Katanya, kontraktor berkenaan turut diarah melakukan pembaikan segera yang siap sepenuhnya pada pukul 11 malam tadi, manakala bekalan air telah pulih sepenuhnya pada pukul 11.45 malam.

“Kontraktor Pan Borneo memecahkan injap udara di atas paip utama dari Loji Bukit Garam, Kinabatangan. Disebabkan kecuaian pihak Pan Borneo pada pukul 5.45 petang bekalan air ke Sandakan dari loji dihentikan.

“Kerja pembaikan oleh kontraktor Pan Borneo selesai pada pukul 11.30 malam dan bekalan air pulih pada pukul 11.45 malam,” katanya ketika dihubungi Borneo Today hari ini.

Semalam bekalan air terputus sepenuhnya di seluruh kawasan Batu 32 sehingga ke Batu 19 dan Batu 12 serta sebahagian besar Sandakan termasuk Taman Sentosa, Taman Hing Lee, Taman Cherysanthemum, Jalan Maktab, Jalan Damai, Bandar Leila dan beberapa lagi kawasan akibat kerosakan itu.

Gambar yang menunjukkan air melimpah keluar dari paip yang rosak itu tular di media sosial menyebabkan kemarahan orang awam terutama di kawasan yang terjejas.

Amarjit berkata, JANS tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana kontraktor yang menyebabkan kerosakan kepada harta benda awam sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.

Katanya, setiap kontraktor perlu bertanggungjawab dan berhati-hati ketika melakukan kerja-kerja berdekatan dengan infrastruktur rakyat.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *