Kembar Tapi Bukan Kembar

Niamh (kiri) dan Karen. Agensi

London: Seorang wanita yang memenuhi azam mencari orang lain berwajah seirasnya tanpa disangka menemukannya dengan tiga perempuan lain yang ajaibnya tiada langsung talian kekeluargaan.

Niamh Geaney dari Dublin, Ireland, menemui dua lagi wanita berhampiran ibu negara Ireland itu, malah seorang lagi turut dijumpai di Itali.

Jemison (kiri) dan Richardson.

“Tidak dapat digambarkan rasa pelik berdepan seseorang yang wajahnya terlalu sama dengan kita. Wajah kami memang seiras, namun personaliti masing-masing terlalu berbeza. Memang ajaib tetapi pada masa sama sangat pelik,” katanya kepada Sunday Night.

Menurutnya, selepas menemui wanita pertama, Karen, dia terbang ke Itali untuk menemui ‘kembar’ kedua, Louisa seterusnya menemui yang ketiga, Irene.

Niamh bukan satu-satunya orang yang menemui ‘kembar seiras’ seperti itu, lapor Mail Online.

Dua lelaki, John Jemison dan Neil Richardson bukan saja berwajah serupa, malah tinggal berdekatan di Essex, United Kingdom.

Richardson berkata, dia mula menyedari sesuatu tidak kena apabila kali pertama berpindah ke pekan Braintree bersama isterinya beberapa tahun lalu kerana penduduk kerap datang kepadanya dan memanggilnya John.

Dia akhirnya menemui John dimaksudkan setahun kemudian apabila secara kebetulan menyertai lawatan bersejarah di sekitar kawasan itu.

Dua lelaki itu kini bersahabat malah bukan saja berwajah serupa sebaliknya turut mempunyai minat dan jalan hidup sama termasuk gemarkan puisi malah kebetulan melamar isteri masing-masing hanya dua minggu selepas mengenali wanita berkenaan, 50 tahun lalu.

Profesor genetik, Tim Spector dari Kolej Kings di London yang mengkaji fenomena digelar ‘doppelganger’ itu berkata, dua rakan berkenaan mungkin mempunyai nenek moyang sama tanpa disedari, malah persamaan mereka adalah 81 peratus, hampir seperti kembar seiras.

Pada masa sama, dia turut melakukan ujian terhadap DNA Niamh serta Irene menjejak susur galur mereka sejak 20,000 tahun lalu, namun dua wanita itu langsung tiada kaitan persaudaraan walaupun persamaan mereka adalah 90 peratus.- Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *