Ayda Jebat Artis Solo Pertama Cipta Malaysia Book Of Records

Ayda jayakan persembahan mini dalam pesawat AirAsia AK5106 dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Penyanyi popular,  Ayda Jebat mencipta rekod tersendiri apabila menjadi artis solo pertama diktiraf Malaysia Book Of Records membuat Persembahan Muzik Secara Langsung di Altitut Paling Tinggi, baru-baru ini.

Persembahan mini berkenaan berlangsung pada ketinggian 38,000 kaki dari paras laut dalam penerbangan syarikat tambang murah dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.

Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat ketika mengadakan persembahan dalam pesawat sewaktu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, hari ini.

Ditemui ketika tiba negeri ini, penyanyi mesra disapa Ayda itu berkata dirinya berasa teruja diberikan peluang membuat persembahan mini seumpama itu disebabkan ia belum pernah dilakukannya sepanjang bergelar anak seni.

“Ayda bersyukur dengan persembahan ini dan sudah pastinya teruja serta berbangga dengan pengiktirafan diberikan Malaysia Book of Records kerana bukan semua penyanyi berpeluang seperti Ayda dapat hari ini.

“Malahan tidak pernah terfikir akan membuat persembahan di dalam pesawat yang sedang terbang di awan biru.

“Ayda sedar masih baru dalam bidang nyanyi serta masih banyak perkara perlu diperbaiki tetapi tidak sangka penganjur memilih Ayda untuk membuat persembahan bersejarah ini sekaligus membakar semangat untuk terus melakukan yang terbaik dalam bidang nyanyian,” katanya yang kini popular menerusi lagu Temberang.

Tak sangka menjadi pilihan AirAsia.

Persembahan berkenaan adalah sebahagian pengisian sempena Minggu Muzik Malaysia 2019 (MMM2019) sempena menjelang penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2020.

MMM 2019 bakal diakhiri menerusi konsert di Bukit Bintang  pada 15 September hadapan.

Antara penghibur yang akan menjayakan konsert berkenaan termasuklah Faizal Tahir, Ella, Hujan, Priscilla Abby dan Dennis Lau.

Mengulas lanjut mengenai persembahan mini pertamanya itu, Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat menyatakan keterujaan kian bertambah apabila melihat semua penumpang turut menyanyi bersama walaupun bukan semua berbangsa Melayu.

Mendendangkan dua lagu popularnya iaitu Pencuri hati dan Temberang, Ayda turut tidak melepaskan sebuah lagu Mandarin, Xin Tai Ruan.

“Asalnya perancangan hanya menyanyikan dua lagu sahaja tetapi selepas melihat ramai dalam kalangan penumpang berbangsa Cina, Ayda terus terfikir nyanyi lagu berkenaan.

“Secara tidak langsung, Ayda dapat menarik minat mereka untuk mengenali diri ini samaada selaku penyanyi atau pelakon,” kata penghibur berusia 27 tahun itu.

Dalam pada itu, kejayaan berkenaan juga dikongsi oleh kumpulan Shadow Puppet Theatre yang turut memeriahkan persembahan di awan biru terbabit.

Turut hadir menyaksikan persembahan terbabit Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Ahmad Shah Tambakau dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Book Of Records, Datuk Michael Tio.

SabahNews Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *