WARISAN Sedia Untuk PRK Kimanis

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) sedia berdepan kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Kimanis berikutan Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai tidak sah dan terbatal.

Ketua Menteri yang juga Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata jika berlaku PRK, ia bukan sesuatu yang mudah kerana parti itu tidak boleh terlalu yakin dan selesa, tetapi mesti bekerja keras untuk mendekati rakyat.

“Kita akan lihat bagaimana kerana prosesnya belum selesai. Masih boleh dibuat rayuan. Jadi, saya tak mahu cakap lanjut sehingga sudah diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Namun, kita memang bersedia dengan apa saja keadaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Teknologi Maklumat (IT) Sabah 2019 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) dan SABAH.NET, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Naib Canselor UMS, Prof Dr Taufik Yap Yun Hin; Pengarah JPKN, Ernywati Dewi Abas dan Pengarah Urusan SABAH.NET, Liawas Barukang.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas persiapan WARISAN bagi menghadapi kemungkinan berlaku PRK Parlimen Kimanis berikutan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya pada Jumaat lalu.

Mengenai soal calon, beliau berkata, ia akan diputuskan apabila masanya sudah tiba dan tidak menolak calon WARISAN pada PRU-14, Datuk Karim Bujang sebagai antara pemimpin yang berpotensi bertanding semula.

“Kita belum putuskan (siapa calon) walaupun dia (Karim) adalah calon yang bertanding sebelum ini. Kita tunggu saja nanti,” katanya.

Jumaat lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan Anifah pada PRU-14 kerana didapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya berkenaan.

Hakim Lee Heng Cheong membuat keputusan itu selepas mendapati kesilapan pada semua kotak undi yang mempunyai unsur manipulasi, termasuk kertas undi tambahan yang melanggar undang-undang pemilihan.

Karim memfailkan petisyen pada 18 Jun tahun lalu bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan menamakan Anifah sebagai responden pertama dan pegawai pilihan raya untuk Kimanis serta SPR sebagai responden kedua dan ketiga.

Peguam Anifah, Tengku Fuad Ahmad, dalam maklum balasnya sebelum ini berkata pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan berkenaan di Mahkamah Persekutuan.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *