RM1.3 Juta Diperuntukkan Untuk Projek Berskala Kecil Parlimen Kota Kinabalu

Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 18 Ogos: Sejumlah RM1.3 juta diperuntukkan untuk beberapa projek berskala kecil yang akan dilaksanakan di Parlimen Kota Kinabalu sebelum akhir tahun ini.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin berkata projek itu termasuk menaik taraf dan menyelenggara permukaan jalan berhampiran kawasan air pancut Jalan Gaya dan membina laluan baharu pejalan kaki berbumbung di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fuad.

“Projek lain ialah pembinaan penghadang jalan di Jalan Coastal Bandaraya Kota Kinabalu, membaik pulih lantai konkrit di tapak pasar ikan dan baik pulih struktur atap gereja Katolik di Kampung Kopungit, Luyang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan program ‘INFO on Wheels’ bersama Pengarah Jabatan Penerangan negeri Sabah, Norzawiyah Bulka di Jalan Gaya, di sini hari ini.

Chan berkata sebut harga bagi projek itu telah dilaksanakan pada Mei dan Jun lepas sebelum tindakan selanjutnya oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Mengenai program itu, Chan berkata ia merupakan inisiatif kerajaan untuk menyalurkan maklumat kepada rakyat antaranya peralihan siaran televisyen daripada analog kepada digital menjelang Oktober ini.

Sementara itu, Norzawiyah turut menyeru agar orang ramai bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang tidak kira di rumah, premis perniagaan dan pejabat sempena Bulan Kebangsaan ini.

“Kita berharap agar mendapat kerjasama daripada semua pihak untuk bersama-sama meraikan sambutan bulan kebangsaan ini,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *