Jumlah Pendaki Gunung Kinabalu Meningkat Tujuh Peratus

KUNDASANG: Pembukaan dua penginapan baharu di Panalaban di sini menyumbang kepada peningkatan tujuh peratus jumlah pendaki di Gunung Kinabalu iaitu 21,405 orang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas seramai 20,006 orang.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew berkata dua pusat penginapan itu, asrama Kinotoki dan Mokodou telah beroperasi sejak 2 April lepas.  

Katanya seramai 1,011 pendaki warganegara Malaysia dan 882 pendaki antarabangsa telah menginap di asrama ini dengan jumlah keseluruhan seramai 1,893 pendaki dari April hingga Jun lalu.

“Pembukaan dua bangunan asrama ini telah membolehkan lebih ramai pendaki dapat menikmati pemandangan yang begitu tinggi nilainya dari puncak Gunung Kinabalu.

“Pembinaan kedua-dua asrama ini juga merupakan tambahan kepada kemudahan penginapan sedia ada di Gunung Kinabalu iaitu Laban Rata Resthouse yang diuruskan oleh Sutera Sanctuary Lodges, Pendant Hut oleh Mountain Torq dan Hostel Lemaing oleh Taman-Taman Sabah (TTS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bangunan Asrama Kinotoki dan Mokodou Panalaban di sini, hari ini.

Liew yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata dengan pembukaan dua asrama baharu itu, jumlah pendaki dalam sehari juga meningkat kepada 168 orang sehari daripada 135 orang sehari.   

Katanya asrama Kinotoki dan Mokodou ini boleh menempatkan seramai 50 pendaki pada satu masa, walau bagaimanapun, pihak TTS hanya membenarkan seramai 30 pendaki menginap dalam sehari. 

Menurutnya sebanyak RM12 juta diperuntukkan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk menjayakan projek ini meliputi pembinaan bangunan asrama, kuarters kakitangan, pejabat operasi Burlington dan kaunter ‘Check Point’ telah bermula pada 22 Mac 2016 dan siap sepenuhnya pada 8 Disember 2017.

Beliau berkata antara projek yang diluluskan adalah projek sistem saliran air dan pembinaan loji kumbahan Gunung Kinabalu yang bernilai RM5.4 juta dan siap pada 31 Julai lepas.

Katanya, satu lagi projek yang akan bermula ialah projek peningkatan kemudahan pelancongan kawasan layang-layang Gunung Kinabalu iaitu bangunan asrama dan restoran dengan kos RM14 juta dan ini dijangka akan bermula pada akhir tahun ini.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *