Wanita Maut, Kenderaan Dinaiki Dihayutkan Arus Deras Di Tongod

Anggota bomba menangkat mayat wanita warga Indonesia yang lemas selepas pacuan empat roda dinaiki hanyut di sungai. Gambar Ihsan Bomba

TONGOD: Seorang wanita warga Indonesia lemas, manakala majikannya berjaya menyelamatkan diri selepas pacuan empat roda yang mereka naiki hanyut di sungai Kampung Semundoh dekat Tongod, hari ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, mangsa Maria Pongli, 35, dan majikannya, Lee Yoke Cheng, 64, dalam perjalanan dari kebun kampung berkenaan menuju ke pekan Telupid dengan menaiki Toyota Hilux.

Difahamkan lelaki terbabit menghentikan seketika kenderaannya di atas bukit, namun tiba-tiba pacuan empat roda itu hilang kawalan lalu terjunam ke dalam sungai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nur Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.02 tengah hari dan seramai empat anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 130 kilometer dari balai.

“Menurut maklumat, kenderaan terbabit hanyut dibawa arus dan ada mangsa terperangkap didalamnya.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang wanita iaitu pekerjanya hilang dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nur Azlan berkata, sebaik tiba di lokasi, wanita berkenaan berjaya ditemui oleh orang awam di sungai berkenaan kira-kira 40 meter dari lokasi kejadian.

“Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *