Sabah Tewas Di Likas

Penyerang Sabah, Aguinaldo Policarpo Mendes (kiri) diasak pemain Pahang pada saingan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu. – Ihsan Sabah FA

KOTA KINABALU: Pahang terus mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan C saingan Piala Malaysia apabila menewaskan Sabah 2-1 di Stadium Likas, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad Tok Gajah mengumpul sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan.

Foto Malaysian Football League

Dalam aksi berkenaan, skuad Tok Gajah tidak perlu menunggu lama untuk memperoleh gol pertama selepas penyerang berbisa mereka, Dickson Nwakaeme, berjaya melepasi kawalan Park Taesu sebelum merembat masuk pada minit pertama.

Sabah hampir memperoleh gol penyamaan pada minit ke-16 namun rembatan Alto Linus yang terbias pertahanan lawan berjaya ditepis penjaga gol Pahang, Mohd Helmi Eliza Elias.

Foto Malaysian Football League

Aksi separuh masa pertama juga menyaksikan skuad Tok Gajah menguasai permainan dengan beberapa serangan bahaya dan berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-34 menerusi Lazarus Kaimbi.

Gol berkenaan terhasil menerusi gerakan menarik pemain import Pahang itu yang berjaya melepasi dua pertahanan sebelum melakukan penyudah baik bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Bermula babak kedua, Sabah yang ketinggalan dua gol bermula garang dengan beberapa serangan bahaya, namun, kekebalan Herold Mark Goulon di bahagian pertahan berjaya menafikan tuan rumah untuk mendapatkan gol.

Bagaimanapun, penyerang import Tambadau, Aguinaldo Mendes Veiga, akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-53 apabila rembatannya yang tidak dikawal terus menewaskan Helmi bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *