Empat Maut 4WD Bertembung Treler Di Kampung Paris 2, Kinabatangan

Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mangsa bertembung dengan sebuah treler dalam kemalangan di Jalan Lahad Datu-Kinabatangan, berdekatan Kampung Paris 2, Kinabatangan. – Ihsan pembaca

KINABATANGAN: Empat maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) dinaiki mereka bertembung sebuah lori treler di Jalan Lahad Datu – Kinabatangan berhampiran Kampung Paris 2, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari itu, Anita Anwar, 41; Nurdiana Tamsi, 57; Thambrin Beddu, 59 dan seorang lagi mangsa belum yang belum dikenal pasti identitinya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata kemalangan dipercayai berlaku selepas kenderaan 4WD berkenaan bertembung sebuah lori treler 10 tan.

“Pihak bomba menerima panggilan pada jam 1.47 tengah hari dan seramai tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan serta anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBRS) Kampung Paris 2 dikejar ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, kenderaan 4WD itu didapati remuk teruk akibat impak pertembungan. Kesemua empat mangsa juga didapati tersepit dalam kenderaan berkenaan sebelum anggota bertugas bertindak mengeluarkan mereka,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Katanya, operasi ditamatkan kira-kira jam 3.50 petang sebelum kesemua mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kinabatangan untuk bedah siasat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *