Tanah Dalam Hutan Simpan Akan Dikembalikan Kepada Penduduk Kampung

Juil Nuatim, bekas pemimpin Umno Papar menyerahkan borang permohonan untuk menyertai Warisan kepada Datuk Seri Shafie Apdal.

PAPAR: Kerajaan Sabah akan meneliti semula kawasan perkampungan yang dahulu berada dalam kawasan hutan simpan agar tanah terlibat boleh diserahkan kepada penduduk kampung yang sudah lama menetap di kawasan terbabit.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, bagaimanapun penelitian akan dibuat bagi memastikan perkampungan yang terbukti sudah lama wujud sahaja yang akan dikeluarkan dari kawasan hutan simpan.

Shafie ketika ditemubual oleh para wartawan.

Beliau berkata, sekiranya terbukti penduduk kampung sudah berada di kawasan hutan simpan selama berpuluh tahun maka, mereka mempunyai hak ke atas tanah yang diduduki.

Oleh itu, kerajaan akan menyerahkan kawasan perkampungan itu kepada mereka.

“Kita tahu ada kampung yang hampir 40 tahun wujud di situ (hutan simpan). Kerajaan pun tidak ingin memajukan dan membangunkan kawasan itu. Maka, kita akan menyerahkannya sekiranya ia berpatutan.

Shafie beramah mesra dengan penduduk Kg Biau.

“Sehubungan itu, saya sudah memberi arahan kepada Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Tanah dan Ukur untuk membuat penelitian secara mendalam.

“Jika wujud bukti mereka (orang kampung) mempunyai hak maka, kita akan serahkan (tanah),” katanya ketika mengulas mengenai ucapannya tentang hasrat kerajaan untuk mengeluarkan perkampungan yang berada dalam kawasan hutan simpan.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Borang Keahlian Parti Warisan Sabah, di Kampung Biau, Papar, di sini pada Khamis.

Shafie disambut oleh ratusan penduduk kampung ketika tiba di dewan komuniti Kg Biau di Papar pada Khamis.

Ditanya adakah usaha itu akan melibatkan pindaan undang-undang, Mohd Shafie berkata, perkara itu akan dibawa dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang untuk dibahaskan.

“Kita akan membawa perkara ini ke DUN, tidak jadi masalah bagi kita. Ini demi kepentingan rakyat dan kita kena bawa (ke DUN). Bukan kita mahu keluarkan tanah dari dalam hutan simpan untuk diberikan kepada swasta, seperti amalan kerajaan terdahulu.

“Misalnya dulu, tadahan air yang dikeluarkan dari Hutan Simpan Kelas Pertama dan kemudian ia dijadikan perlombongan emas. Itu bukan kepentingan umum, itu kepentingan perniagaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, sekiranya kawasan perkampungan itu berada dalam kawasan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), ia akan dikeluarkan sekiranya berpatutan.

Namun, beliau tidak mahu ada pula orang kampung yang sengaja mewujudkan perkampungan baharu di tanah GLC. Itu akan dibuat penelitian.

Ia kerana dalam rekod, kerajaan tahu mana perkampungan yang sudah bertahun-tahun wujud.

“Jangan pula bila dengar ucapan saya, kita baru hampir dua tahun jadi kerajaan dan mereka duduk di situ juga baru dua tahun, kemudian tuntut hak. Itu tidak sepatutnya berlaku kerana perkara ini perlu dilihat berdasarkan undang-undang, peraturan dan syarat-syarat yang ada,” jelasnya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *