800 Botol Minuman Terbuang Bangunkan Replika Bendera Di Tamparuli

TAMPARULI: Sebanyak 800 botol bekas minuman digunakan kakitangan Pejabat Daerah Tamparuli, di sini, untuk membina replika bendera Malaysia, Sabah dan menara berkembar Petronas pada pagar pejabat agensi kerajaan negeri itu.

Kerja kreatif membabitkan hampir 30 kakitangan pejabat daerah itu dilakukan secara gotong-royong pada cuti hujung minggu dan mengambil tempoh beberapa minggu untuk disiapkan.

Penolong Pegawai Daerah Tamparuli Joseph Bangguan berkata dalam usaha menghias kawasan pejabat daerah itu lebih kreatif, replika bendera Malaysia, Sabah dan menara berkembar Petronas dibina menggunakan botol plastik.

“Kami memilih botol terbuang sebagai bahan utama kerana tidak perlu mengeluarkan sebarang kos membeli, kecuali cat dan sedikit peralatan tambahan seperti dawai untuk mengikat.

“Justeru, kami mengambil langkah awal mengumpul botol plastik dan menyapu cat yang kemudiannya diletakkan pada pagar pejabat daerah secara berperingkat,” katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata mereka mengambil tempoh beberapa minggu untuk menyiapkan kerja itu memandangkan usaha itu hanya boleh dilakukan pada cuti hujung minggu.

“Kami bersyukur kerana akhirnya berjaya juga menyiapkan kerja kreatif itu, sekali gus menjadikan Pejabat Daerah Tamparuli pertama memiliki replika bendera Malaysia, Sabah dan menara berkembar Petronas di daerah sebelah sini,” katanya.

Joseph berkata pembinaan bendera Malaysia dan Sabah menggunakan 644 botol kosong manakala menara berkembar Petronas lebih 200 botol plastik.

Sehubungan itu, beliau berharap pendekatan diambil Pejabat Daerah Tamparuli membina replika bendera Malaysia dan Sabah itu menimbulkan kesedaran penduduk supaya mengibarkan bendera negara serta negeri menjelang sambutan kemerdekaan negara.

Mengikut sejarah, Pejabat Daerah Tamparuli memulakan perkhidmatan kepada penduduk daerah ini pada 1977, dengan hanya 14 kakitangan di sebuah kedai di pekan ini.

Pada 1982 pentadbiran daerah Tamparuli berpindah bangunan sendiri di Jalan Kampung Bawang berhampiran pekan, manakala 2004 pusat pentadbiran daerah mendapat bangunan baharu menempatkan 38 kakitangan, termasuk Mahkamah Anak Negeri.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *