Rumah Pusaka 60 Tahun Musnah Sekelip Mata

JAMES Juanis Majamul bersama dua anaknya melihat tapak rumah mereka di Kampung Boligo-Kolopis yang musnah terbakar, Ahad lalu. NSTP/Fardy Bungga.

KOTA KINABALU: Usaha 60 tahun membina rumah pusaka sedikit demi sedikit, menggunakan hasil titik peluh keluarga, musnah sekelip mata dalam kejadian kebakaran di Kampung Boligo-Kolopis, di sini kelmarin.

Pemilik rumah, James Juanis Majamul, 51, berkata ketika kejadian, hanya bapanya yang berusia 90 tahun berada di rumah, manakala dia bersama keluarganya sibuk membersihkan kebun buah-buahan di Kampung Babagon yang terletak berhampiran.

Katanya, dia mendapat tahu kejadian itu selepas dihubungi jiran yang memaklumkan rumahnya terbakar sebelum mereka sekeluarga bergegas pulang.

“Sebaik tiba, api sudah memusnahkan hampir keseluruhan rumah dan saya tidak sempat menyelamatkan harta benda termasuk dokumen penting serta barangan berharga.

“Rumah pusaka ini menyimpan banyak memori keluarga kami. Dugaan ini sangat berat, namun saya bersyukur kerana bapa saya yang sudah lanjut usia selamat dari kejadian ini,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

James berkata, dia sangat buntu ketika ini dan berharap ada pihak yang tampil untuk membantu menghulurkan sumbangan bagi memudahkannya mendirikan semula rumah untuk mereka sekeluarga.

Katanya, dia dan keluarganya kini terpaksa bersesak di rumah adiknya kerana tidak mempunyai pilihan lain.

“Semua barang-barang musnah, termasuk peralatan sekolah anak-anak saya yang berusia antara 8 hingga 13 tahun,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Hasbi Hajat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.06 petang.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

“Api berjaya dikawal pada jam 4.25 petang sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.25 petang selepas dipastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1212 3410 0010 5713 atau menghubungi James di talian 017-8609737.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *