Polis Yakin Mayat Nora Anne

Nora Anne yang dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lalu.

Polis yakin mayat wanita kulit putih ditemui di Gunung Berembun berhampiran sebuah resort di Pantai, Seremban, 1.57 petang hari ini adalah Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak 4 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, mayat berkenaan ditemui sekumpulan pendaki yang turut menyertai operasi dan menyelamat (SAR) berkenaan.

“Mayat ditemui di kawasan lurah kira-kira 2.5 kilometer dari resort tempat remaja itu menginap. Ketika ditemui, mayat tidak berpakaian berhampiran anak sungai.

“Mayat wanita itu ditemui sekumpulan pendaki yang turut menyertai operasi sebelum melaporkannya kepada polis seterusnya unit forensik bergegas ke lokasi bersama pasukan patologi dari Hospital Tuanku Jaafar (HTJ),” katanya ketika sidang, hari ini.

Beliau berkata, kawasan mayat berkenaan ditemui, termasuk dalam liputan kawasan pencarian pasukan SAR sebelum ini.

“Mayat berkenaan dibawa ke HTJ menggunakan helikopter kerana kawasannya ditemui adalah lurah sedalam kira-kira 1.2 kilometer,” katanya.

Ditanya mengenai sebarang kecederaan pada mayat, Mazlan berkata, pihaknya akan menunggu laporan bedah siasat terlebih dahulu.

“Pihak keluarga sudah dimaklumkan dan dibawa ke HTJ untuk proses pengecaman. Bagaimanapun, polis yakin mayat berkenaan adalah Nora Anne,” katanya.

Hari ini, pasukan SAR menjumpai mayat di kawasan pencarian Nora Anne yang membabitkan 353 anggota, pasukan SAR terbesar setakat ini.

Nora Anne disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai, Seremban oleh keluarganya pada 8 pagi, 4 Ogos lalu.

Remaja orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *