Sabah Kenal Pasti Kawasan Baharu Untuk Hidupan Liar

SEMPORNA: Kerajaan Sabah akan mengenalpasti tanah di kawasan bersesuaian untuk dijadikan tapak pembiakan hidupan liar yang baharu.

Langkah itu bagi membantu meningkatkan usaha pemuliharaan hidup liar di Sabah.

Shafie bersama jemaah yang lain ketika menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha, di Masjid Daerah Ar-Rahman Semporna, di sini pada Ahad.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, beliau telah mengarahkan Timbalannya, Datuk Christina Liew supaya mengenalpasti tanah di beberapa kawasan yang ada untuk dijadikan tapak pembiakan hidupan liar seperti gajah, badak sumbu sumatera serta hidupan liar lain.

“Kita mahu hidupan liar seperti gajah dapat ditempatkan dalam satu kawasan seperti yang dilakukan di Afrika, dimana tanah seluas 1,000 ekar disediakan bagi menempatkan hidupan liar. Ia bukan hanya boleh dijadikan pusat tarikan pelancongan tetapi juga, tempat pembiakan hidupan liar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Solat Sunat Hari Raya Aidiladha, di Masjid Daerah Ar-Rahman Semporna, di sini pada Ahad.

Ditanya mengenai persetujuan Kerajaan Indonesia untuk memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Sabah-Malaysia pada September ini dalam pemuliharaan badak sumbu sumatera, beliau menghargai kerjasama diberi Kerajaan Indonesia itu.

Mohd Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, itu adalah langkah yang diambil Kerajaan Sabah bagi menyelamatkan spesis terakhir badak sumbu sumatera yang kini hanya tinggal seekor sahaja di Sabah dan Malaysia.

Sejak kematian Tam, badak jantan terakhir di Sabah-Malaysia, pada 27 Mei lalu, badak sumbu sumatera yang tinggal hanya Iman, badak betina.

“Atas sebab itu, apabila hanya seekor sahaja lagi badak yang tinggal dan ia tidak berupaya melahirkan zuriatnya, saya menasihatkan Christina untuk ke Jakarta supaya berbincang dengan rakan sejawatnya di Indonesia bagi membantu dalam pembiakan badak ini.

Shafie ditemani isteri Datin Seri Shuryani Mohd Shuaib melawat tapak penyembelihan lembu sempena ibadah korban yang disumbangkan Ketua Menteri, di Masjid Daerah Ar-Rahman Semporna.

“Kita tidak mahu membiarkan spesis ini pupus, ia perlu dilindungi. Sebagai badak betina, ia perlukan badak jantan untuk proses pembiakan agar zuriat badak itu dapat dilangsungkan.

“Untuk itu, perlu bagi kita mencari langkah menjayakan proses pembiakan itu,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senallang ini turut menyarankan agar hutan belantara di negeri ini terus dipelihara agar ia berupaya menjadi tempat perlindungan dan membekalkan sumber makanan kepada hidupan liar.

Apabil hidupan liar kehilangan sumber makanan dan tempat berlindung, ia akan keluar dari kawasan hutan dan jika hidupan ini bertembung dengan manusia, haiwan itu akan ditembak.

Menurutnya, selaku kerajaan, mereka harus mengambil iktibar melalui kejadian sebegitu.

Katanya, hidupan liar juga harus dilindungi sebagai salah satu makhluk Tuhan yang berada di muka bumi ini.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *