30 Peratus Peningkatan Peluang Pekerjaan Di Lahad Datu, Kata Mohamaddin Ketapi

Ahli Parlimen Silam merangkap Menteri Pelancongan Seni Dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi

LAHAD DATU: Pelancong dalam dan luar negara yang mahu berkunjung ke pantai timur Sabah selepas ini akan lebih selesa apabila Lapangan Terbang Lahad Datu siap dinaiktaraf tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Silam merangkap Menteri Pelancongan Seni Dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata perbincangan lanjut bersama Malaysia Airport Holding Berhad MAHB telah dibuat beliau minggu lalu.

Jelas Mohamaddin pertemuannya bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin itu adalah merupakan pertemuan kali kedua bagi membincangkan pelan pembangunan lapangan terbang terbabit.

” Saya telah mengadakan pertemuan bersama MAHB bagi berbincang lanjut mengenai pembangunan Lapangan Terbang Lahad Datu.

” Pada perbincangan itu kami turut mengenalpasti kriteria baharu lapangan terbang bagi membolehkan tidak hanya pesawat ringan dan kecil malah kapal terbang bersaiz besar.

“Dengan pelan pembangunan pelancongan yang baharu di Lahad Datu yang sedang dirangka, kita mahu bukan sahaja pesawat ringan malah pesawat jenis Boeing turut mendarat dan membawa pelancong ke kawasan pantai timur sabah ini.

“Lebih penting, penduduk di Lahad Datu perlu berbangga kerana tidak lama lagi daerah akan ini bakal memiliki sebuah lapangan terbang antarabangsa.” Katanya yang ditemui selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Nurul Ulum, Kampung Segama Batu 8 pada Ahad.

Tambah Mohamaddin perbincangan turut memperincikan pelan kawasan pilihan yang lain bagi tujuan menaiktaraf terbabit.

“Kami turut membincangkan kemungkinan mengenalpasti kawasan lain kerana kawasan tanah lapangan terbang sedia ada terlalu kecil.” katanya.

Menyentuh mengenai Pelan Pembangunan Pelancongan Lahad Datu, Mohamaddin berkata pelan tersebut akan disiapkan secara komprehensif melibatkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri Lahad Datu, Kunak dan Tungku.

” Di Parlimen Silam ini memiliki banyak produk pelancongan dan “blueprint” ini penting untuk disegerakan pelaksanaannya nanti.

“Ia akan merangkumi ketiga-tiga kawasan DUN iaitu Lahad Datu, Kunak dan Tungku.

“Antara yang akan dibangunkan nanti adalah berkaitan pembangunan hotel bagi menampung kemasukan pelancong di pantai timur sabah.

“Hotel-hotel ini penting, lebih-lebih lagi apabila lapangan terbang antarabangsa Lahad Datu itu nanti siap, katanya.

Jelas Mohamaddin kedua-dua inisiatif terbaharu itu nanti tidak hanya akan menaikkan lagi nama Lahad Datu malah bakal menjanjikan peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi.

“Dengan terlaksananya kedua-dua perkara ini, semua orang akan dapat menyaksikan limpahan ekonomi di pantai timur sabah khususnya di Lahad Datu.

“Selain itu kita juga bakal menyaksikan peningkatan peluang pekerjaan sehingga 30 peratus di daerah ini nanti.” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *