Penunggang Motosikal Maut Terlanggar Kereta Rosak

Motosikal mangsa remuk selepas terlanggar sebuah Proton Exora yang diparkir di tepi jalan kerana mengalami kerosakan. – Gambar ihsan IPD Tawau

TAWAU: Seorang penunggang motosikal jenis Honda EX5 maut dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Kampung Inderasabah, dekat sinsemalam.

Mangsa dikenal pasti sebagai Hafsham Miezairin Ahag, 27, parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Besar Tawau.

Pemandu kenderaan tidak berada dilokasi kerana sedang mendapatkan bantuan untuk baiki kenderaanya. – Gambar ihsan IPD Tawau

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 malam ketika mangsa sedang dalam perjalanan dari bandar Tawau menuju ke rumahnya di Kampung Inderasabah.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa terlanggar belakang kenderaan jenis Proton Exora yang diparkir di tepi jalan sebelah kiri akibat mengalami kerosakan.

“Mangsa terjatuh daripada motosikalnya dan mengalami kecederaan parah. Difahamkan pemandu kenderaan terbabit tidak berada di lokasi berikutan sedang mendapatkan bantuan daripada orang lain bagi membaiki kenderaannya yang rosak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peter berkata mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan. 

Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia sejurus menerima rawatan di hospital berkenaan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai.

SabahNewsToday 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *