Penunggang Motosikal Maut Terlanggar Kereta Keluar Simpang Di Putatan

Penunggang yang terhumban di dalam parit dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan. – Gambar SNT/Ihsan Polis

PENAMPANG: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya terlanggar kereta yang keluar dari simpang hingga terbabas sebelum terhumban ke dalam parit dalam kejadian di Jalan Papar – Kota Kinabalu dekat pusingan U simpang Klinik Kesihatan Putatan, di sini petang tadi.

Dalam kejadian pukul 10.50 pagi itu, penunggang Erbin Roni, 25, dari Papar disahkan meninggal dunia oleh doktor di Wad Kecemasan Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata ketika kejadian kereta jenis Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 28 tahun dari pusat bandar raya menuju ke Kampung Pasir Putih.

“Ketika kereta Perodua Myvi keluar simpang dilanggar mangsa yang menunggang motosikal Benelli dari jalan lurus arah Papar ke pusat bandar raya.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang (mangsa) terbabas melanggar bahu jalan lalu terhumban ke dalam parit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Haris berkata mangsa yang parah kemudian dikeluarkan oleh orang awam sebelum di bawa ke HQE menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu Perodua Myvi yang keluar simpang untuk masuk jalan Pejabat Daerah Putatan lalu dilanggar oleh mangsa.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *