Mayat Wanita Ditemui Terdampar Di Pesisir Pantai Merupakan Mangsa Bot Karam Di Pitas

PITAS: Mayat wanita ditemui terdampar di pesisir pantai Kampung Naruntung, di Pitas, semalam, adalah mangsa bot karam yang hilang dalam kejadian di perairan Kampung Berungus.

Mayat Lili Sumantih Suaimi, 29, disahkan oleh abangnya sendiri berdasarkan pakaian yang dipakainya pada hari kejadian iaitu Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat wanita itu kira-kira 1 tengah hari.

“Mayat ditemui tertiarap di pesisir pantai oleh penduduk kampung dan dalam keadaan reput serta wajahnya tidak dapat dikenal pasti.

“Mayat masih berpakaian lengkap iaitu berbaju putih berlengan panjang bercorak dan seluar panjang berwarna hitam bintik putih,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, pada awalnya, mayat dipercayai adalah mangsa bot karam yang hilang ketika kejadian pada Selasa lalu.

“Mayat mangsa kemudian dikenal pasti oleh abangnya, Marde, 35, berdasarkan pakaian yang dipakai mangsa ketika kejadian.

“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Pitas untuk dibedah siasat,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, Selasa lalu, bot yang dinaiki lima penduduk terbalik ketika dalam perjalanan dari Kudat.

Empat mangsa ditemui namun dua daripadanya, Mustaib Mumin berusia 60-an dan Suhaimi Salleh, 65, disahkan meninggal dunia manakala Marde dan Owya Timbangan, 63, terselamat.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *