Lapangan Terbang Lahad Datu Dinaik Taraf Tidak Lama Lagi

LAHAD DATU, 11 Ogos: Pelancong yang berkunjung ke pantai timur Sabah akan lebih selesa apabila Lapangan Terbang Lahad Datu dinaik taraf tidak lama lagi, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) bagi membincangkan pembangunan lapangan terbang itu.

“Pada perbincangan itu, kami turut mengenal pasti kriteria baharu lapangan terbang bagi membolehkan kapal terbang bersaiz besar mendarat di lapangan terbang tersebut. 

“Dengan pelan pembangunan pelancongan yang baharu di Lahad Datu yang sedang dirangka, kita mahu bukan sahaja pesawat ringan, malah pesawat jenis Boeing turut mendarat dan membawa pelancong ke kawasan pantai timur Sabah ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Nurul Ulum, Kampung Segama di sini hari ini.

Menyentuh mengenai Pelan Pembangunan Pelancongan Lahad Datu, Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Silam berkata pelan tersebut akan disiapkan secara komprehensif melibatkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Lahad Datu, Kunak dan Tungku.

“Di Parlimen Silam ini banyak produk pelancongan dan pelan tindakan ini penting untuk disegerakan pelaksanaannya nanti,” katanya.

Mohamaddin berkata dua inisiatif terbaharu itu akan menaikkan lagi nama Lahad Datu dan bakal menjanjikan peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi di Pantai Timur Sabah.

“Selain itu kita juga bakal menyaksikan peningkatan peluang pekerjaan sehingga 30 peratus di daerah ini nanti,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *