Saya Semakin Sayang Adira – Datuk Red

ADNAN bersama isteri, Adira, dan anak mereka, Anggrek. – Foto IG Adira Suhaimi

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Datuk Seri Adnan Abu, menafikan khabar angin dia menceraikan isterinya, Adira Suhaimi, ketika penyanyi itu sarat hamil anak ketiga mereka.

Kecewa dengan spekulasi bertebaran, Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red berkata, soal perceraian tidak wajar dijadikan bahan mainan kerana ia sangat sensitif, apalah lagi ketika Adira sedang bertarung nyawa melahirkan cahaya mata.

“Saya sama sekali tidak mempunyai niat untuk menceraikan Adira, terutama dalam keadaan sekarang, ketika kami sudah pun mempunyai tiga anak. Malah, saya semakin menyayangi isteri.

“Bagi saya, perkara membabitkan perceraian sangat sensitif. Mujur keluarganya di Sabah tahu cerita berkenaan tidak benar.

“Apabila gosip ini timbul, saya akui sangat kecewa. Begitupun, saya anggap semua ini ujian buat kami sekeluarga. Adira sendiri faham kerana dia seorang selebriti. Kepada pihak yang membuat fitnah, saya maafkan mereka,” katanya kepada BH Online.

Ditanya mengenai penerimaan penyanyi Pujaan Hati itu terhadap gosip berkenaan, Adnan berkata, isterinya sangat positif kerana dia sendiri maklum cerita terbabit tiada kebenarannya.

“Adira sendiri tahu berita itu palsu, jadi dia tak mahu ambil peduli sangat mengenainya. Apa yang saya dapat lihat, dia sekarang lebih gembira dan bahagia kerana kini bergelar ibu kepada tiga cahaya mata. Selepas ini, dia mahu lebih fokus membesarkan anak.

“Saya juga sama dengannya, mahu memberikan lebih tumpuan kepada keluarga dan memperbaiki diri dari sudut agama,” ujarnya.

Spekulasi mengenai perceraian pasangan ini timbul apabila ruangan gosip sebuah portal hiburan menyiarkan cerita artis wanita diceraikan ketika sedang hamil anak ketiga. Kebetulan, Adira atau nama lengkapnya Siti Adira Suhaimi, 28, ketika itu sedang mengandung bayi ketiganya.

Kelmarin, bintang kelahiran program realiti Akademi Fantasia itu selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.4 kilogram menerusi pembedahan.

Mengenai puteri yang baru dilahirkan, Adnan tertarik untuk menamakannya Anggun, yang menurutnya membawa maksud keagungan.

Adnan dan Adira berkahwin di Songkhla, Thailand, pada 3 Disember 2015. Sebelum ini, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Anggrek, yang dilahirkan pada 10 Mac 2017 dan Asan (9 September 2018).

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *