Hati-Hati Dengan Individu Menyamar, SESB Tidak Buat Kerja Pendawaian Dalam Premis

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengingatkan pengguna supaya berwaspada dengan individu yang menyamar sebagai anggota SESB untuk membuat pemeriksaan sistem pendawaian dalaman premis.

Pengurus Besar (Komunikasi Korporat) SESB, Chendramata Sinteh, berkata kerja pendawaian dalaman premis hanya boleh dilakukan oleh seseorang yang mempunyai sijil pendawaian dan kompeten dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga.

“Kita juga mengingatkan pengguna bahawa ketika ini kerja pendawaian dalaman tidak termasuk dalam skop kerja senggaraan SESB,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas satu laporan media berhubung seorang lelaki menyamar sebagai anggota kerja SESB memasuki premis pengguna di Kampung Peniang, Tuaran untuk memeriksa sistem pendawaian dalaman rumah, Rabu lalu.

Penyamar terbabit dilaporkan mencuri barangan milik pengguna dan disedari oleh pengguna selepas individu terbabit beredar dari rumah berkenaan.

“Difahamkan suspek seorang lelaki datang ke rumah mangsa serta memperkenalkan diri sebagai anggota kerja SESB dan mahu memeriksa sistem pendawaian rumah.

“SESB juga tidak pernah melantik mana-mana pihak luar bagi menjalankan kerja penukaran meter elektrik kerana semua kerja terbabit dilaksanakan sendiri oleh anggota kerja SESB,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai bil elektrik, beliau berkata semua bayaran bil elektrik hanya boleh dibuat di kaunter perkhidmatan SESB, kios dan pejabat utama SESB serta beberapa agensi perbankan yang dilantik.

Katanya, bagi pembayaran perkhidmatan lain, urusan hanya boleh dibuat di kaunter SESB dan tiada warga kerja SESB dibenarkan menerima sebarang bayaran berbentuk tunai walaupun bagi pihak syarikat.

Sehubungan itu, katanya pengguna perlu menghubungi polis jika mereka didatangi individu yang mencurigakan dan meminta bayaran bagi sebarang perkhidmatan berkaitan dengan pendawaian dalaman atau kerja pembaikan kotak jangka di premis.

Kes penipuan yang sama turut dilaporkan di Kampung Padawan, Papar pada Isnin lalu membabitkan dua suspek lelaki menyamar kakitangan SESB yang masih diburu polis.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *