5 Pengedar Dadah Antara 66 Individu Ditahan Terbabit Dadah

Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Polis

KOTA KINABALU: Seramai 66 individu termasuk lima pengedar dadah ditahan dalam Ops Sarang selama seminggu yang berakhir semalam.

Operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu membabitkan beberapa kampung di sekitar bandar raya ini yang dikenal pasti lokasi berpotensi tinggi penyalahgunaan dadah.

Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Polis

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata secara keseluruhan dalam tempoh berkenaan sebanyak 19 serbuan dijalankan dan seramai 66 individu ditahan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Hasil daripada serbuan dan tangkapan itu, lima individu ditahan kerana disyaki pengedar dadah manakala 13 individu lagi disebabkan memiliki dadah.

“Seterusnya diikuti 48 individu membabitkan kesalahan positif dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Habibi, daripada jumlah itu, seramai 57 individu adalah warga tempatan manakala sembilan warga asing dan semua tangkapan berusia 15 hingga 70 tahun.

Habibi berkata dalam operasi itu polis turut merampas sebanyak 101.31 gram dadah jenis syabu dan 8.50 gram ganja yang dianggarkan bernilai RM5,235 mengikut harga pasaran dadah semasa.

Antara individu yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Polis

Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, diikuti Seksyen 39A(2) (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) (ADB) 1952, Seksyen 12(2) (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(A) (ADB) 1952.

Sementara itu, Habibi berkata, usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di lokasi yang dikenal pasti akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam di bandar raya ini.

Ujarnya orang awam juga perlu menyalurkan maklumat jenayah dadah menerusi hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529220 atau ke akaun Facebook Polis Daerah Kota Kinabalu.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *