Ops Bersepadu PPM & KPDNHEP Gagalkan Cubaan 3 Juragan Seludup Keluar Barang Kawalan

Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggagalkan tiga cubaan menyeludup keluar barang kawalan di perairan Laut Pelabuhan dan Laut Sungai Haji Kuning, Tawau Rabu lalu.

Menurut Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, dalam operasi bersepadu itu dua bot laju (penambang) dan sebuah bot jenis jongkong ditahan kerana membawa muatan barang kawalan iaitu empat tong gas jenama Petronas, dua tong gas jenama MyGaz dan 120 kilogram gula jenama Prai.

Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

“Pemeriksaan terhadap dua juragan tempatan dan seorang juragan warga Indonesia berusia 33 hingga 63 tahun, mereka gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada KPDNHEP atas semua barang kawalan yang dibawanya,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, semua juragan ditahan dan bot serta barang rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Tawau.

Nilai keseluruhan rampasan RM68,260 dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam operasi sama, Mohamad Pajeri berkata, seorang wanita Filipina berusia 28 tahun ditahan kerana disyaki penagih dan pengedar dadah.

Katanya, wanita itu dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah.

BERNAMA

Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah
Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *