Muatan Balak Sah: Ketua Konservator Hutan Sabah

Konvoi lori balak di Jalan Sapulut membawa muatan yang sah.

KOTA KINABALU: Lori yang terbabit dalam kemalangan  di Batu 9, Jalan Sapulut Kalabakan, baru-baru ini membawa muatan balak daripada aktiviti pembalakan yang sah dan bukan sebaliknya seperti yang diviralkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab melalui media sosial.

Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) mengesahkan bahawa pada hari itu sebanyak 49 lori balak telah dikeluarkan termasuk 25 lori yang tersekat akibat insiden tersebut.

Lori balak yang mengalami kemalangan

Menurut Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Mashor Mohd Jaini, jumlah muatan 25 lori yang terlibat adalah 1,114 batang, iaitu bersamaan dengan 1400.00 m3. (Meter Padu).

Lori balak yang terlibat dalam kemalangan pula adalah keluaran pelesen First Greenworld Sdn. Bhd.

Menurut rekod, Pengarahnya adalah Dato Lee Nyuk Heng.

Terdapat tiga lagi pelesen yang mengangkut balak pada hari kejadian iaitu Zillion Fortune Sdn Bhd, Jawala Plantation Industries Sdn Bhd, dan dua kontraktor di bawah lesen Yayasan Sabah iaitu Kontraktor Usahawan Borneo Sdn Bhd dan Kontraktor Timjadi Sdn Bhd.

Semasa kejadian, pegawai JPS turut berada di lokasi membantu mengalih halangan jalan akibat tertutup oleh lori tersebut. Kesesakan telah diselesaikan dalam tempoh lebih sejam iaitu jam 12.30 tengahari.

Siasatan lanjut turut mendapati bahawa pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan mempunyai lesen yang sah, dan berpengalaman sebagai pemandu lori selama 20 tahun.

Ujian air kencing (Urine Test) pemandu adalah negatif dan bebas daripada pengaruh dadah.

“Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan kepada orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat secara melulu tanpa memeriksa kesahihannya terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata ini kerana ia akan menimbulkan prejudis terhadap kerajaan dan jabatan yang terlibat (Jabatan Perhutanan).

SabahNewsToday


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *