Lelaki Hilang Di Semporna Ditemui Mati Di Ladang

Operasi mencari dan menyelamat turut dibantu anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM). Foto BESTAWAUfm

SEMPORNA: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas memasuki hutan di Kampung Siaban sejak Selasa lalu, ditemui mati, semalam.

Mayat mangsa dikenali sebagai Harianto Pungut, 30, dijumpai penduduk kampung di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Lihak-Lihak, di sini, pada jam 5.30 petang.

Pihak bomba mengambil maklumat berhubung kejadian daripada rakan mangsa. – Foto BESTAWAUfm

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, berkata mayat ditemui kira-kira 600 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.

“Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sebaik sahaja laporan mengenai kehilangan mangsa diterima pada jam 10.20 pagi, semalam.

Media sebelum ini melaporkan mangsa dikatakan masuk ke dalam hutan terbabit bersama dua rakannya pada jam 8 pagi, namun hanya dua rakan itu yang keluar pada jam 4 petang.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *