KOTA KINABALU: Seorang lelaki kempunan ‘menikmati’ hasil curi apabila dicekup selepas beberapa minit melarikan beg duit pelancong warga China dalam kejadian di pantai Tanjung Aru, di sini semalam.
Suspek berusia 20-an ditahan oleh pemandu pelancong warga China berkenaan selepas dimaklumkan beg duit mangsa dilarikan oleh suspek kira-kira pukul 6 petang.
Suspek berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi sebelum pihak polis tiba dan menahannya.
Polis turut menemui semula beg duit mangsa yang berisi sejumlah wang.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa bersama rakannya sedang menangkap gambar lalu meletakkan beg duitnya di tangga tepi pantai dan secara tiba-tiba suspek datang dan melarikan beg duit mangsa.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengesan rakan jenayah suspek terbabit,” katanya.