‘Mereka Bagi Pajakan Balak Sampai 50 Tahun, Bukan Mudah Untuk Batalkan’

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menegaskan syarikat-syarikat konsesi Unit Pengurusan Hutan (FMU) yang menjalankan pembalakan di negeri ini telah menerima lesen daripada kerajaan terdahulu untuk tempoh pajakan antara 35 tahun sehingga 50 tahun.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sehubungan itu, bukan mudah pentadbiran sekarang membatalkan lesen-lesen tersebut, namun beliau telah mengarahkan supaya penguatkuasaan ketat dijalankan untuk memastikan syarat-syarat FMU dipatuhi tanpa kompromi.

Tegas beliau, antara syarat yang ditetapkan ialah setiap syarikat mesti melakukan penanaman semula balak bagi menjamin kelestarian hutan dan jika dilanggar tindakan paling tegas akan diambil termasuk melihat semula kedudukan lesen.

“Syarat-syarat sama ada penanaman semula hutan sudah dilakukan, jika tiada pokok ditanam kita boleh mengambil tindakan pasal konsep FMU adalah tanam semula pokok di kawasan perjanjian sama ada 10,000 hektar atau 50,000 hektar yang kadang-kadang menelan masa sampai 50 tahun.

“Saya mahu nyatakan ini dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu tapi walaupun begitu saya minta supaya penguatkuasaan mesti dilakukan, kita tidak boleh batalkan FMU cuma saya mahu buat kajian sama ada mereka telah memenuhi syarat-syarat,” katanya ketika berucap di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Semalam, tular di media sosial tentang sebuah gambar menunjukkan lori balak yang sarat muatan terbalik di Jalan Sook – Sepulut sehingga menimbulkan persoalan orang ramai mengenai kewujudan aktiviti pembalakan secara berleluasa.

Sebuah video turut disebarkan yang menunjukkan puluhan lori balak sedang mengangkat hasil bumi itu menuju ke lokasi tertentu.

Sebagai rekod, sebenarnya kerajaan telah menghentikan penjualan balak ke luar negara, namun bagi syarikat yang telah mendapat lesen mereka masih boleh mengeluarkan balak mengikut syarat ditetapkan.

Bagaimanapun, jika sebelum ini balak terus dijual untuk keuntungan pemimpin, Mohd. Shafie pula menetapkan dasar kesemua balak yang ada wajib diproses di Sabah sahaja bagi mencipta kilang-kilang papan di seluruh negeri dan menjana pendapatan rakyat.

Menurut Mohd. Shafie, Yayasan Sabah adalah agensi yang tunggal yang akan menguruskan pembalakan di Sabah untuk memastikan duit daripada hasil industri kayu dapat diagihkan kepada rakyat.

“Yayasan Sabah akan tanggung anak-anak kita untuk belajar sebab itu kita pastikan supaya susun semula Yayasan Sabah,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *