DUN Sabah Lulus Pindaan Enakmen Jenayah Syariah

Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 6 Ogos: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan rang undang-undang bagi meminda Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 yang akan berkuat kuasa pada 9 Sept tahun ini.

Rang undang-undang pindaan dibentangkan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Moktar itu telah menarik perhatian enam ahli DUN Sabah untuk membahaskannya sebelum diluluskan oleh Speaker DUN Datuk Syed Abbas Syed Ali selepas bacaan kali ketiga.

Aidi berkata Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pindaan) 2019 itu bagi mengadakan takrif agama Islam dan Ahli Sunnah Waljamaah selain menjadikan sebatan sebagai penalti bagi ajaran doktrin dan pelaksanaan upacara atau perbuatan berhubungan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak serta fatwa dikuatkuasakan di negeri ini.

Pindaan enakmen itu juga bagi mengadakan peruntukan baharu mengenai larangan mengembangkan doktrin agama selain daripada doktrin agama Islam, katanya ketika membentangkan rang undang-undang pindaan berkenaan dalam persidangan DUN Sabah, di sini.

Aidi berkata berdasarkan perkembangan semasa, segelintir umat Islam saling bertelingkah dalam perkara dasar dan ranting agama sehingga menyebabkan perpaduan semakin longgar dan terancam, justeru, adalah perlu umat Islam disatukan di bawah satu aliran kefahaman aqidah, amalan fiqh, syariah dan tasawwuf yang muktabar. 

“Islam adalah agama menyatukan umat dan mengetepikan pertelingkahan. Sebarang pemikiran, tindakan dan amalan menyebabkan perpecahan mesti dielakkan. Begitu juga dengan aliran ajaran sesat yang meresap dalam masyarakat Islam wajar dibenteras supaya umat Islam berada dalam kefahaman amalan benar,” katanya.

Aidi berkata kewujudan aliran ajaran sesat dan fahaman melampau menjadi satu daripada sebab pindaan berkenaan perlu dilaksanakan dalam kadar segera.

Beliau berkata setakat 2017, Majlis Fatwa Sabah telah mewartakan sebanyak 11 ajaran atau fahaman sesat termasuk tiga dimulakan dan diasaskan dari Sabah iaitu Ajaran Pertubuhan Rahmatan Lil ‘Alamin, Tariqah Hasaniah dan Ajaran Islam Jama’ah.

Katanya, tiga ajaran sesat turut tersenarai iaitu Millah Abraham @ Ibrahim, Hizbut Tahrir dan Syiah mempunyai fahaman melampau sehingga tahap sanggup melancarkan perang ke atas pemimpin dan kerajaan yang tidak sependapat atau tidak sejajar dengan ajaran mereka.

“Kewujudan ajaran sesat ini terutama berfahaman melampau bukan sahaja memberi kesan negatif atau ancaman keselamatan kepada penduduk beragama Islam tetapi juga kepada semua penduduk di Sabah tanpa mengira agama dan bangsa.

“Oleh itu, rang undang-undang pindaan ini bertujuan menyekat penularan ajaran sesat dan fahaman melampau untuk mengelakkan kekeliruan serta ancaman keselamatan dalam kalangan penduduk Sabah,” katanya.

Persidangan DUN Sabah bersambung esok.

BERNAMA 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *