Dua Lelaki Pala’u Ditahan Cuba Seludup 400 Liter Petrol

Dua lelaki suku Palauh ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) kerana cuba menyeludup keluar 400 liter minyak petrol di kawasan perairan Ambo-Ambo di Semporna. – Foto Ihsan PPM

SEMPORNA: Dua lelaki suku Palauh ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas dikesan cuba menyeludup keluar 400 liter petrol melalui kawasan perairan Ambo-Ambo, dekat sini, semalam.

Dua lelaki suku Palauh ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) kerana cuba menyeludup keluar 400 liter minyak petrol di kawasan perairan Ambo-Ambo di Semporna. – Foto Ihsan PPM

Kedua-dua suspek ditahan susulan maklumat dan risikan dijalankan Unit Risikan Marin (URM) yang mengesan sebuah perahu dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan pada kira-kira jam 6.30 petang.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohd Pajeri Ali, berkata pemeriksaan awal mendapati perahu terbabit dikendalikan seorang juragan bersama pembantunya masing-masing berumur 35 dan 25 tahun.

Katanya, pemeriksaan lanjut dalam ruangan perahu itu menemui kira-kira 400 liter petrol yang diisi dalam 12 tong jerikin pelbagai saiz.

“Juragan bersama pembantu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri (secara lisan mengaku dari suku Palauh) selain mengaku membawa barang kawalan berkenaan tanpa kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Pajeri berkata, kedua-dua suspek bersama barang rampasan yang bernilai RM14,223.68 dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta seorang selain hukuman penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *