Ikan Gergasi Mati Di Tasik Taman Rekreasi Tun Fuad Stephen

Ikan spesis Arapaiman yang ditemui terapung di tasik Taman Rekreasi Tun Fuad Stephen. – Foto Media Sosial

KOTA KINABALU: Kelibat ikan lebih dua meter yang ditemui terapung di tasik Taman Rekreasi Tun Fuad Stephen, Bukit Padang, Kota Kinabalu menarik perhatian ramai.

Ikan air tawar yang dipercayai dari jenis Arapaima seberat 108 kilogram itu dipercayai sudah mati sejak beberapa hari lalu berikutan keadaannya mula mereput.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman berkata, ikan itu difahamkan berasal dari negara Amerika Selatan seperti Brazil.

Katanya, sebaik dimaklumkan mengenai penemuan ikan itu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) segera menghubungi Jabatan Perikanan Negeri Sabah dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk tindakan lanjut.

“Ikan berkenaan sudah diambil oleh Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS bagi mengenalpasti punca kematian selain penyelidikan.

“Kita percaya ikan ini mungkin dilepaskan beberapa tahun lalu sehingga membesar menjangkau berat sedemikian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pensyarah IPMB UMS, Muhammad Ali Syed Hussin berkata, ikan itu spesis Arapaiman dan ia bukan berasal dari negara ini.

Katanya, pihaknya sudah menjalankan bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian namun berdepan kesukaran kerana keadaan organ dalaman sudah rosak.

“Tidak dapat dipastikan usia ikan ini tetapi kita percaya berdasarkan saiz ia mungkin belasan tahun.

“Selain daripada kajian, tulang ikan ini akan dikumpulkan untuk tujuan pameran dan pembelajaran,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Azhar Kassim berkata, ikan jenis Arapaima itu tersenarai sebagai spesis ikan yang dilarang masuk ke negara ini.

Katanya, jika ikan itu dibuang ke sungai, ia dibimbangi mengakibatkan kerosakan eko sistem sungai berkenaan.

“Ikan ini adalah jenis pemangsa dan boleh merosakkan ekosistem sungai kita. Sebab itu ia dilarang dibawa masuk ke negara ini,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *