DUN Sabah Lulus RUU Perbekalan Tambahan Pertama 2019

FOTO BERNAMA

KOTA KINABALU, 5 Ogos: Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan Pertama (2019) 2019 yang memerlukan peruntukan tambahan berjumlah RM337,423,659.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Menteri Kewangan negeri ketika membentangkan RUU itu berkata sebanyak RM243,720,537 atau 72.2 peratus daripada jumlah Anggaran Perbekalan Tambahan 2019 diperlukan bagi pelarasan akaun untuk mematuhi peraturan perakaunan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM131,720,537 adalah untuk menyelesaikan Akaun Pendahuluan Diri, manakala baki RM112 juta untuk caruman kepada Kumpulan Wang Berkanun Negeri.

“Ini bermakna, hanya RM93,703,122 sahaja melibatkan pengaliran wang tunai dalam Anggaran Perbekalan Tambahan Pertama 2019, iaitu meliputi sejumlah 27.8 peratus daripada jumlah keseluruhan anggaran perbekalan tambahan berkenaan,” katanya.

Mohd Shafie berkata sebanyak RM24,152,856 daripada aliran wang tunai dalam anggaran perbekalan tambahan pertama itu disyorkan untuk menampung perbelanjaan penyelenggaraan sistem perparitan utama serta kerja-kerja pengairan dan saliran di seluruh Sabah.

Katanya, RM16,420,830 pula disyorkan bagi keperluan di bawah vot Perkhidmatan Am Perbendaharaan di bawah Kementerian Kewangan Negeri meliputi rawatan perubatan kepada anggota perkhidmatan awam, pembaikan kemudahan, bayaran pemberian dalam negeri, bayaran penyewaan kenderaan swasta dan membiayai pembelian kenderaan kerajaan.

Selain itu, katanya, sebanyak RM8 juta disyorkan untuk bayaran pemberian kepada Lembaga Perhutanan, Tabung Rayuan Derma Bencana Alam, perbelanjaan sambutan Hari Kebesaran Negeri, pemberian kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan Majlis Sukan Sabah.

“Sejumlah RM42,629,436 pula disyorkan untuk membiayai perbelanjaan emolument seperti tunggakan gaji, elaun lebih masa, gantian cuti rehat dan perbelanjaan pentadbiran pejabat seperti penyelenggaraan bangunan dan kenderaan, pembeliasan aset, penyewaan pejabat, bayaran utiliti serta perkhidmatan keselamatan,” katanya.

Mohd Shafie berkata kesemua anggaran perbekalan tambahan itu adalah mustahak bagi melicinkan operasi jentera pentadbiran kerajaan khusus untuk tempoh suku tahun keempat 2019.

Sebanyak 17 Ahli DUN mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul berkenaan.

Persidangan DUN Sabah bersambung esok.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *