(VIDEO) Jemaah Gaduh Dalam Masjid Di Kampung Tinusa Setuju Berdamai

SANDAKAN: Polis sudah mengambil keterangan kedua-dua pihak yang terbabit dalam satu pergaduhan bersama aksi tumbuk menumbuk di sebuah masjid di Kampung Tinusa, Batu 7, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki berusia 56 tahun yang juga bendahari masjid berkenaan.

“Kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari ketika pengadu sedang membentangkan status kewangan terkini masjid kepada jemaah.

“Ketika membentangkan status kewangan masjid, seorang jemaah tidak berpuas hati dan menyatakan berlaku ketirisan pengurusan kewangan sejak pengadu menjadi bendahari,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Susulan itu, Mohd Hazmin berkata, berlaku pertengkaran mulut sehingga menyebabkan tercetus insiden tumbuk menumbuk membabitkan pengadu dan jemaah itu.

“Pergaduhan berjaya dileraikan oleh jemaah yang lain sebelum pengadu datang ke balai polis untuk membuat laporan. Keterangan kedua-dua pihak juga sudah diambil oleh polis.

“Kedua-dua individu terbabit bersetuju untuk berdamai dan merujuk perkara berkaitan kewangan masjid kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan untuk penyelesaian yang lebih harmoni,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi empat minit 22 saat yang memaparkan pergaduhan antara dua pihak sambil dileraikan oleh jemaah solat Jumaat di masjid berkenaan, tersebar di laman Facebook.

https://www.facebook.com/SuaraWarisanBorneo/videos/218907185669156/

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *