PPM Tawau Rampas 1,270 Karton Rokok Seludup Dari Indonesia

Rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM38,100 dirampas PPM. – Gambar Ihsan PPM

TAWAU : Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau merampas 1,270 karton rokok pelbagai jenama yang cuba diseludup masuk ke Malaysia melalui kawasan laut Batu 4, dekat sini, semalam. 

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata bertindak atas maklumat risikan sepasukan anggota bertugas dalam Op Gelora Khas ke lokasi kejadian pada 7.30 malam dan pada 8.30 malam bot membawa rokok seludup itu diserbu.

Rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM38,100 dirampas PPM. – Gambar Ihsan PPM

“Seorang lelaki yang merupakan juragan bot, menyedari kehadiran polis, telah memecut bot dengan laju. 

“Semasa anggota PPM mengejar bot berkenaan, kelihatan suspek menjatuhkan barang muatan ke dalam laut dan suspek gagal ditahan apabil terus memecut bot memasuki perairan Indonesia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Pajeri, pemeriksaan terhadap barang yang dibuang ke dalam laut merupakan rokok pelbagai jenama antaranya rokok jenama Fit Mild Menthol (70 karton), Surya Menthol Slims (70 karton), Premiro (40 karton), D’jarum Black Motodify (70 karton) dan Menara International (1,020 karton).

Dua kotak berisi rokok seludup dibuang ke laut oleh suspek yang melarikan diri menaiki bot menuju ke perairan Indonesia. – Gambar Ihsan PPM

“Jumlah keseluruhan dirampas sebanyak 1,270 karton bersamaan 204,800 batang rokok dengan nilai anggaran rokok lari daripada cukai RM38,100,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata kesemua rampasan itu dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e), Akta Kastam 1967.

Sementara itu, pada 5.40 pagi tadi, PPM yang menjalankan tugasan rutin di kawasan laut Pantai Tanjung Saima dekat sini menahan sebuah bot jenis pukat tunda yang dikendalikan seorang lelaki berumur 39 tahun dan merupakan warga Indonesia.

Rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM38,100 dirampas PPM. – Gambar Ihsan PPM

“Bot tunda berkenaan melakukan kesalahan iaitu menjalankan operasi memukat tunda dengan jarak 1.7 batu nautika dari pantai. 

“Juragan bot ditahan dan 50 kilogram ikan pelbagai jenis di dalam bot turut dirampas,” katanya.

Kes itu, katanya akan dirujuk kepada Jabatan Perikanan atas kesalahan melanggar syarat-syarat lesen perikanan dan ditahan mengikut Akta Perikanan 1985.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *