Festival Sayangi Lahad Datu Landasan Terbaik Perkenal Daerah Itu Sebagai Destinasi Pelancongan

LAHAD DATU: Festival Sayangi Lahad Datu 2019 berupaya menjadi landasan terbaik untuk memperkenalkan Lahad Datu sebagai destinasi pelancongan yang wajar dikunjungi di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, festival itu menampilkan aktiviti seni dan budaya tempatan yang boleh menarik pengunjung ke daerah di pantai timur ini.

“Penganjuran festival ini menyemarakkan lagi kegiatan seni dan budaya dalam kalangan komuniti Lahad Datu serta meningkatkan kefahaman dan apresiasi seni dalam kalangan masyarakat ke arah pembentukan sebuah bangsa yang harmoni.

“Selain itu, program ini juga dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat menikmati keindahan dan keunikan seni dan budaya serta membuka peluang menjana ekonomi,” katanya pada majlis perasmian festival itu di sini malam ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi, yang juga Ahli Parlimen Silam.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk membangunkan Sabah, termasuk dalam sektor pelancongan, kesenian dan kebudayaan.

Katanya, kerajaan negeri menyokong pelaksanaan Kempen Melawat Malaysia 2020 melalui pelbagai usaha seperti penyampaian perkhidmatan mesra, memelihara kebersihan tempat pelancongan, penyelenggara produk pelancongan, memperkenalkan produk pelancongan baharu dan menjaga keselamatan pelancong.

“Saya percaya melalui usaha-usaha ini akan mampu bukan sahaja menarik pelancong yang melancong buat pertama kali tetapi juga menggamit semula kehadiran pelancong-pelancong sebelum ini ke Sabah.

“Ini secara langsung akan meningkatkan bilangan pekerjaan serta pendapatan kepada ekonomi Sabah khususnya dan Malaysia amnya,” kata beliau.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *