534 Penerima Lega Akhirnya Dapat Hak Milik Tanah

Antara penerima geran tanah daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

SEMPORNA: Seramai 534 penerima geran tanah di daerah ini menarik nafas lega apabila penantikan selama 30 tahun mereka untuk mendapatkan pemilikan tanah daripada kerajaan negeri akhirnya berjaya diterima hari ini. 

Daripada jumlah tersebut seramai 97 individu adalah penerima geran tanah peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) manakala 437 orang menerima geran individu. 

Antara penerima geran tanah yang dimohon sejak lebih 30 tahun lalu.

Geran tanah berkenaan diberikan sendiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam majlis Pemberian Geran Tanah Peneroka SLDB dan Geran Individu yang diadakan di Dewan Masyarakat Semporna.

Beberapa penerima yang ditemui antaranya Asibih Baginda, 47, berkata impiannya untuk meneruskan perusahaan kelapa sawit yang diwarisi daripada bapanya kini tercapai selepas menerima geran itu. 

“Sejak arwah bapa saya ada lagi geran tanah itu sudah dimohon. Saya sebagai pewaris tanah berkenaan sudah mengusahakan tanah itu yang terletak di Kampung Sungai Buaya dengan hasil tanaman kelapa sawit. 

“Kerajaan terdahulu tidak ada menyentuh soal geran tanah di kawasan kami namun akhirnya pada hari ini saya bersyukur dibawah kepimpinan baharu ini saya dapat memiliki geran tanah yang diwarisi daripada bapa saya,” katanya kepada SabahNewsToday.

Bagi Purnama Abdul Rajim, 43, menzahirkan rasa kegembiraan apabila geran tanah yang dipohon allahyarham bapanya sejak lebih 30 tahun lalu menjadi kenyataan. 

“Saya ingin berterima kasih kepada kerajaan yang sudah menyerahkan geran tanah kepada kami dan saya akan warisi serta usahakan tanah berkenaan dengan sebaiknya,” jelasnya yang turut mengusahakan penanaman kelapa sawit di tanah itu.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika ditemui mengingatkan para pemilik yang sudah diberi geran tanah tidak menjualnya kepada individu lain. 

Beliau berkata geran tanah itu seharusnya diusahakan dengan sebaiknya bagi menjana ekonomi individu itu sendiri. 

“Ini adalah satu langkah kerajaan baharu diperingkat negeri Sabah menunaikan janji supaya geran tanah yang mereka mohon sejak dahulu dapat diberikan kepada yang berhak. 

“Kita juga mengharapkan supaya geran tanah itu bukan hanya menjadi milik mereka namun ia dapat diusahakan oleh pemilik untuk kebaikan dan bukan untuk dijual. 

Beliau turut menyeru Kementerian Pertanian dan Industri Pemakanan Sabah memberi produk atau benih kepada pemilik supaya tanah itu dapat diusahakan dengan hasil bercucuk tanam. 

“Kementerian boleh memastikan terdapat produk yang kita boleh tawarkan kepada pemilik tanah dengan hasil tanaman seperti durian, pamelo dan buah-buahan lain yang mendapat permintaan ramai. 

“Kementerian Pertanian juga menggalakkan penanaman pokok kelapa pandan kepada pemilik-pemilik geran supaya tanah yang mereka miliki dapat mengeluarkan hasil dan menambah pendapatan bulanan,” katanya.

SabahNewsToday 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *