Penerima Geran Tanah SLDB, Geran Individu, Jangan Tual tanah – Shafie

SEMPORNA, 3 Ogos: Penerima geran tanah peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) serta geran tanah adat di daerah ini, diingatkan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal agar tanah berkenaan tidak dijual kepada orang lain.

Mohd Shafie berkata pemilik atau pewaris tanah disaran agar membangunkan tanah itu dan tidak membiarkannya kosong begitu sahaja atau dibiarkan penuh lalang.

“Jangan jual tanah ini…Tanah yang ada majukan, bangunkan, untuk kebaikan, jangan tanam sawit sahaja, perbanyakkan tanaman lain seperti tanam durian, pamelo termasuk tanam buah-buahan yang mendapat permintaan tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan geran tanah SLDB dan geran individu di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 97 penerima geran tanah peneroka SLDB dan 437 penerima geran individu (tanah adat).

Dalam pada itu, beliau mahu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah menyediakan benih atau produk bagi ditawarkan kepada penerima geran tanah dengan tujuan tanah itu dibangunkan sekali gus menggalakkan bercucuk tanam di kawasan rumah.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata langkah pemberian geran tanah kepada mereka yang berhak itu akan diteruskan ke seluruh daerah di Sabah.

“Tetapi kawasan tanah (yang diberikan) itu bukan besar, yang penting dapat dimanfaatkan penduduk.

“Bulan lalu kami adakan usaha sama di Tambunan, sebelumnya Tongod, selepas ini di Lahad Datu, Tawau, Kalabakan, Pensiangan serta Keningau dan misalnya di Keningau kami akan serahkan (geran tanah) mengikut dalam pangkalan data ada lebih 1,300 penerima,” katanya lagi.

Sementara itu, pewaris tanah peneroka SLDB, Asmin Maddai, 50, menyahut saranan pemimpin nombor satu Sabah itu untuk mempelbagaikan tanaman di kawasan tanah SLDB berkenaan.

“Ketika ini tanah di Rancangan Pegagau itu kami tanam dengan kelapa sawit, selepas ini saya bercadang mahu mengusahakan tanaman durian atau nanas,” katanya bersyukur dengan penyerahan geran tanah daripada kerajaan negeri itu.

Menurut Asmin, arwah bapanya, Maddai Nanang memohon tanah itu sejak tahun 1969 selepas menjadi peneroka SLDB dan baharu hari ini geran tanahnya seluas empat hektar itu diserahkan kepada waris.

Bagi, Zainal Abu Kassim, 56, beliau berkata dia berumur setahun ketika arwah bapanya, Abu Kassim Ahmad menjadi peneroka tanah SLDB.

Menurut Zainal penantian selama lebih 50 tahun untuk mendapatkan geran itu, tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan sesungguhnya perkara ini sangat menggembirakan.

“Ketika ini, tanah itu ditanam dengan kelapa sawit, mungkin selepas ini saya dan adik perempuan sebagai pewaris akan meneruskan mengusahkan tanah kira-kira empat hektar ini dengan tanaman lain,” katanya.

Asmin dan Zainal turut senada tegas tidak mahu menjual tanah itu kepada orang lain kerana bapa mereka sudah lama membangunkan tanah itu selain berjuang mendapatkan geran berkenaan.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *