Kanak-Kanak Ditemui Lemas Dipercayai Jatuh Ke Sungai

Pasukan bomba mengangkat mayat kanak-kanak yang ditemui lemas selepas terjatuh ke sungai di Kampung Bengkalalak, Beaufort. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

BEAUFORT: Seorang kanak-kanak lelaki ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke sungai di Kampung Bengkalalak, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, mangsa Ivan Firdaus Moktar, 12, bersama adik dan bapanya ke sungai berkenaan untuk mengepam air.

Lokasi mangsa lemas di sungai Kampung Bengkalalak Beaufort. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

Ketika bapa mangsa pulang rumah dan kembali semula ke sungai, mangsa sudah terjatuh ke dalam sungai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.15 pagi dan menghantar tujuh anggota dari BBP Beaufort ke lokasi kejadian untuk mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak dipercayai terjatuh ke dalam sungai.

“Sebaik tiba, pasukan bomba dibantu orang awam kemudian melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di tebing sungai dan sekitar lokasi mangsa terjatuh.

“Pada jam 11.57 pagi, mangsa ditemui oleh orang kampung kira-kira 50 meter dari lokasi akhir mangsa dilihat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada paramedik sebelum doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. Operasi tamat jam 12.55 tengah hari,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *