Teguran Berdarah Pekerja Ladang Di Lahad Datu

Kecederaan dialami mangsa di kepala dan bahu kiri. Gambar Ihsan polis

LAHAD DATU: Disebabkan menegur rakan serumah yang malas mencuci pinggan selepas makan,seorang pekerja ladang parah ditetak di rumah pekerja di Cenderawasih, Lahad Datu.

Kejadian berlaku pada 3 pagi, Selasa lalu dan mangsa lelaki berusia 29 tahun sempat melarikan diri ke rumah penyelianya terletak 500 meter dari lokasi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, mangsa sedang tidur di dalam biliknya sebelum suspek berusia 25 tahun mengetuk pintu bilik itu dua kali.

“Mangsa kemudian membuka pintu namun, suspek terus menyerangnya menggunakan parang sambil menolaknya sehingga terjatuh ke lantai.

“Mereka bergelut dan mangsa berjaya merampas parang daripada suspek namun, disebabkan itu dia cedera di kepala, bahu kiri dan calar di pipi kiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, suspek kemudian keluar dari bilik mangsa dan datang semula dengan membawa parang lain yang diambil di dapur.

Katanya, suspek juga mengejar mangsa yang ketika itu melarikan diri ke rumah penyelianya. Dia diselamatkan dan dibawa ke klinik di Cenderawasih sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu.

Menurutnya, laporan dibuat dan suspek berjaya ditahan pada 1.50 tengah hari, hari sama di rumah pekerja ladang itu.

“Siasatan awal kejadian berpunca daripada teguran mangsa terhadap suspek yang enggan basuh pinggan selepas makan dan mangsa menganggap suspek mungkin berdendam disebabkan itu.

“Sebelum ini mereka tidak pernah bergaduh. Pada 6 petang sebelum kejadian, mangsa ada melihat suspek seperti kemurungan dan bertanya jika dia ada masalah, namun dia hanya mendiamkan diri,” katanya.

Beliau juga memberitahu rumah itu didiami empat individu namun dua lelaki melarikan diri kerana ketakutan disebabkan kejadian itu.

Katanya, suspek turut cedera di telinga dan jari telunjuk kanan.

“Dua parang digunakan dalam kejadian itu dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *