Empat Rumah Musnah Terbakar Di Tawau

4 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Batu Laut, semalam. – Foto ihsan pembaca

TAWAU: Empat rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Batu Laut, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, dua mangsa cedera ringan akibat terkena serpihan kayu, manakala penghuni lain sempat menyelamatkan diri sebelum api merebak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Syarudi Delamin, berkata empat jentera bersama 19 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.28 malam.

“Setiba di lokasi didapati empat rumah papan sedang marak terbakar. Kerja pemadaman dan pengawalan api dilakukan segera bagi mengelak ia merebak,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dua mangsa yang cedera ringan akibat terkena serpihan kayu diberikan rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

Katanya, kebakaran dapat dikawal sejam kemudian sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.30 tengah malam.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *