51 Tuduhan Musa Aman Dipinda

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman ketika hadir sebutan kes rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini di maklumkan pihak pendakwaan akan meminda tuduhan dihadapi bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, berkaitan 51 tuduhan membabitkan rasuah dan pengubahan wang haram.

Hakim Collin Lawrence Sequerah, membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mendapatkan tarikh pengurusan kes baharu selain meneliti dan menyerahkan dokumen kepada pihak pembelaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Umar Saifuddin Jaafar memberitahu mahkamah pihaknya memerlukan masa untuk meneliti kertas pertuduhan.

“Memandangkan kes ini baru sahaja dipindahkan ke mahkamah tinggi, terdapat pindaan dilakukan terhadap tuduhan.

“Pihak kami juga masih dalam proses melengkapkan dokumen kerana terdapat eksibit dari luar negara.

“Selain itu, tertuduh juga akan mendapatkan rawatan di luar negara selama sebulan pada 7 Ogos depan,” katanya.

Sementara itu, peguam Francies Ng Aik Guan yang mewakili Musa memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya dibenarkan untuk mendapatkan pasport sementara untuk melakukan rawatan di London.

Mahkamah menetapkan 27 September untuk pengurusan kes.

Pada 23 Mei lalu, Musa mengaku tidak bersalah terhadap kesemua tuduhan dibacakan semula untuk kali pertama di mahkamah itu.

Mengikut tuduhan, Musa sebagai seorang ejen kerajaan negeri Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak berjumlah AS$63.3 juta.

Individu terbabit adalah Lim Nyuk Foh, Looh Chai Boon, Chia Tien Foh, Mazlan Zakaria, Lo Man Heng, Nasir Yeo Guan Hock, Ngui Ing Chuang dan Nip Wing Hon.

Wang suapan itu sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal tertuduh, iaitu memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada 16 syarikat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lapan bank dan institusi kewangan di Hong Kong, China dan Singapura di antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008.

Semua tuduhan terhadap Musa adalah mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta sama.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *